Kota Bharu: Operasi besar-besaran dilancarkan Polis Kelantan bagi menjejaki penjenayah Anuar Mohammad, 37, atau lebih dikenali Nuar Ayam yang dipercayai suspek utama kes samun dan menembak mati seorang peniaga di Kampung Beris Lalang di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya kini giat memperketatkan kawalan di sempadan negeri ini untuk memburu suspek utama itu.

Katanya, polis tidak akan memberi ruang dan akan berusaha habis-habisan mengesan suspek supaya segera ditangkap.

“Suspek sudah lama dikehendaki polis berhubung beberapa kes jenayah terutamanya samun senjata dan rogol. Bagaimanapun suspek gagal ditahan polis.

“Kami percaya suspek akan ditangkap dalam tempoh terdekat. Polis percaya Anuar dapat memberi maklumat mengenai dua lagi suspek kes itu berusia lingkungan 30-an,” katanya selepas Majlis Perasmian Tamat Latihan Asas Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Khamis lalu, pemilik kedai perkakasan Mustaffar Siddik, 52, mati ditembak penjenayah selepas enggan menyerahkan kunci pacuan empat roda model Toyota Harrier miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:28 AM