Operasi DBKL gempur premis, peniaga, penjaja babitkan warga asing di Chow Kit dan Jalan Haji Taib. FOTO Ihsan DBKL
Operasi DBKL gempur premis, peniaga, penjaja babitkan warga asing di Chow Kit dan Jalan Haji Taib. FOTO Ihsan DBKL
Azhar Shahrulnizam

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan sita dan pindah barangan ke atas 12 pemilik aktiviti atau tapak lot perniagaan yang gagal mempamerkan lesen dan dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran di sekitar kawasan Jalan Haji Taib, Chow Kit, bermula 9 malam semalam sehingga 1 pagi tadi.

DBKL dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata, tindakan itu adalah hasil serbuan dan pemeriksaan lebih dari 200 aktiviti perniagaan bazar pakaian terpakai dan lain-lain penjualan barangan am dan aksesori yang beroperasi sepanjang lokasi itu.

Antara agensi yang terbabit dalam Tindakan Khas Aktiviti Perniagaan adalah Jabatan Penguatkuasaan DBKL dengan kerjasama Pejabat Cawangan Setiawangsa dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal.

"Peniaga yang terbabit adalah sembilan peniaga barangan terpakai, dua peniaga makanan dan minuman serta seorang penjaja ubat-ubatan seks. Tindakan penguatkuasaan operasi khas dijalankan menerusi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

"Semua pemegang lesen perniagaan diingatkan untuk memastikan beroperasi mengikut syarat-syarat yang telah tercatat di dalam lesen perniagaan seperti masa, lokasi tempat dan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa bagi melantik mana-mana pembantu premis atau gerai mengendalikan perniagaan.

"Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas akan dilakukan sekiranya masih terdapat pemilik aktiviti perniagaan warga tempatan menggajikan atau membenarkan warga asing beroperasi termasuk pembatalan lesen perniagaan," kata DBKL dalam kenyataan itu.

Barangan pakaian terpakai dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan proses dokumentasi.

Operasi khas ini diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman Mahlin bersama 131 orang pegawai, anggota penguatkuasa dan kakitangan DBKL dengan membuat pemeriksaan keatas aktiviti perniagaan dan penjajaan terdiri daripada ubatan seks, makanan, minuman dan pakaian terpakai seperti baju, seluar, kasut dan lain-lain barangan membabitkan pekerja, pembantu, peniaga dan pengendali warga negara asing dari Bangladesh dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 8:39 PM