ANTARA 118 warga asing ditahan dalam serbuan imigresen.
ANTARA 118 warga asing ditahan dalam serbuan imigresen.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Beberapa katil pelik lengkap dengan rantai besi milik sindiket pelacuran ditemui di dalam operasi Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya, awal pagi semalam.

Katil itu yang ditempatkan di dalam bilik di sebuah bangunan di Jalan Changkat Thambi Dollah, Pudu di sini, dipercayai dijadikan tarikan oleh sindiket pelacuran warga asing.

Dalam serbuan jam 1 pagi, bangunan setinggi 16 tingkat berkenaan diserbu selepas dikesan menjadi sarang aktiviti tidak bermoral.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya, M Saravana Kumar berkata, bangunan itu dikawal ketat oleh beberapa individu yang diarah memantau kehadiran pihak berkuasa.

“Ini terbukti apabila penjaga pintu premis warga asing cuba menghalang usaha anggota imigresen memasuki bangunan itu.

“Lelaki itu turut menjerit memberi arahan supaya pekerja seks di dalam spa dan pusat hiburan di bangunan itu melarikan diri. Namun tindakan mereka berjaya dihalang,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan dari tingkat satu hingga ke tingkat 16 bangunan berkenaan sebelum 118 warga asing ditahan untuk pemeriksaan.

“Seramai 85 individu membabitkan warga Myanmar, Thailand, Indonesia, Bangladesh dan China berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya kepada Metro Ahad.

Katanya, kebanyakan individu itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal di negara ini lebih dari tempoh ditetapkan.

“Kita percaya premis hiburan dan spa itu turut menawarkan perkhidmatan seks berdasarkan penemuan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan maksiat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui beberapa bilik khas yang disyaki digunakan untuk tujuan pelacuran.

“Pihak kami turut mengeluarkan 11 salinan Borang 29 (Saman Kepada Saksi) semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:20 AM