EMPAT    maut dalam kemalangan membabitkan tiga  kenderaan di  Jalan Serkam Pantai, dekat Merlimau.
EMPAT maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Serkam Pantai, dekat Merlimau.
Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Arifin Salleh

Jasin: “Saya hilang semua sekali sekelip mata,” kata Abd Ghafar Said yang kematian isteri, dua anak dan ibu mentua selepas terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Serkam Pantai, Kampung Bukit Gereja, Umbai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, isteri Abd Ghafar, Ida Dollah, 46, dua anaknya, Siti Rohana, 23, dan Siti Rohani, 18, serta ibu mentuanya, Saimah Wahab, 77, maut di lokasi selepas Perodua Kancil dari arah Bandaraya Melaka ke Muar, Johor bertembung dengan Proton Perdana dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

Difahamkan, Perodua Kancil itu kemudian dirempuh Proton Preve dinaiki tiga sekeluarga dari arah belakang yang gagal mengelak sebelum terbalik dan mengakibatkan Ida dan Saimah tersepit di tempat duduk manakala Siti Rohana dan Siti Rohani tercampak keluar.

Pemandu Proton Perdana yang cedera dihantar ke hospital manakala tiga sekeluarga yang menaiki Proton Preve itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abd Ghafar, 49, berkata, dia yang ketika itu berada di rumah di Kesang Laut, Muar, Johor mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan adiknya yang menerima panggilan daripada anggota polis.

“Pagi tadi (semalam) isteri meminta izin untuk ke Melaka bersama anak kerana Siti Rohana yang bekerja di Pejabat Kesihatan di Johor Bahru pulang cuti hujung minggu sebelum mengambil ibunya di Sungai Rambai, Jasin.

“Namun, kira-kira jam 4.30 petang adik menghubungi memaklumkan mereka terbabit kemalangan sebelum abang saya, Ali, 50, datang ke rumah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Jasin, di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang mulanya menyangkakan kemalangan biasa, terkejut selepas dimaklumkan isteri, dua anak bersama ibu mentuanya maut dalam kemalangan terbabit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:54 AM