Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Siti Nadzirah Che Mud


Machang: Kanak-kanak lelaki 11 tahun menjadi mangsa ketiga meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 31 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai dekat Kampung Tok Kaya, Pulai Chondong, di sini, kira-kira 4 petang tadi

Mohd Zahirul Fitri Mohd Hasrul Nizam meninggal dunia ketika dirawat. Sebelum itu, ibunya Siti Rohani Yajid, 35, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Machang, manakala neneknya Azizah Zakaria, 74, di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, empat lagi yang cedera adalah datuk mangsa Yajid Ismail, 82, dan tiga adiknya berusia dua hingga sembilan tahun.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga BLM dipandu Siti Rohani dari arah Kuala Krai terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Mercedes-Benz peniaga berusia 72 tahun.

"Akibat itu, kereta Proton Saga terbakar, namun semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa cedera dihantar ke Hospital Machang, manakala mayat dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 9:24 PM