LOKASI kejadian kemalangan meragut nyawa Md Firdaus dan anaknya, Muhammad Lutfil. FOTO ihsan pembaca
LOKASI kejadian kemalangan meragut nyawa Md Firdaus dan anaknya, Muhammad Lutfil. FOTO ihsan pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan anaknya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 malam, Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan.

Difahamkan, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat APMM Terengganu dalam perjalanan menghantar anaknya ke kelas mengaji dari rumah mereka di Gong Badak dengan menunggang motosikal jenis Honda Vario.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan keluar dari simpang sebelum dirempuh Proton Preve dipandu lelaki berusia 38 tahun.

Pelanggaran itu menyebabkan dua beranak terbabit tercampak sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu proton Preve yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) manakala mayat dua beranak dihantar ke Unit Forensik hospital sama.

Muhammad Suffi (tengah) bersama peserta selepas menjalani Latihan menembak senjata api kecil di Lapang Sasar Pusat Latihan RELA Wilayah Timur Kampung Kemat. FOTO Ghazali Kori
Muhammad Suffi (tengah) bersama peserta selepas menjalani Latihan menembak senjata api kecil di Lapang Sasar Pusat Latihan RELA Wilayah Timur Kampung Kemat. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, perkarangan Unit Forensik HSNZdipenuhi rakan sekerja Allahyarham Md Firdaus.

Turut berada di Unit Forensik HSNZ adalah isteri kepada Allahyarham Md Firdaus, Siti Hawa Mohd Sebari, 30.

Suri rumah itu kelihatan sebak dan beberapa kali pengsan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 11:32 PM