Nibong Tebal: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah premis memberi petunjuk baru mengenai empat bom buatan sendiri yang ditemui di Jalan Badak Mati di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya empat bom buatan sendiri itu dihasilkan individu yang mempunyai kemahiran bahan letupan.

Beliau berkata, hasil penelitian CCTV itu, pihaknya mengesan seorang lelaki mencurigakan berada di lokasi bom berkenaan ditemui dan individu itu dipercayai boleh membantu membantu siasatan.

“Kami sedang berusaha mengesan lelaki berkenaan selain mendapatkan kerjasama daripada penduduk berhampiran untuk mengumpul lebih banyak maklumat dan petunjuk mengenai kes berkenaan.

“Motif sebenar individu berkenaan meninggalkan bom buatan sendiri di kawasan kediaman itu masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Wan Hassan berkata, sehingga kini pihaknya sudah memanggil lima individu untuk direkodkan keterangan, namun gagal mendapatkan petunjuk yang boleh membantu untuk melengkapkan siasatan.

“Pemilik kediaman itu sudah dipanggil dan memberikan kerjasama baik, namun dia mendakwa tidak pernah menerima sebarang ugutan atau mempunyai masalah dengan mana-mana pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 9:22 AM