Oleh Salman Hamat


Nibong Tebal: Polis mendapat petunjuk baru dalam usaha mengesan suspek, berhubung penemuan empat bom buatan sendiri di Jalan Badak Mati, Nibong Tebal, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, petunjuk itu diperolehi hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperolehi dari premis berhampiran.

"Selepas meneliti rakaman CCTV kami mengesan kelibat seorang lelaki berhampiran premis tempat bom itu ditemui dan dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan bom berkenaan.

"Selain itu kami sudah memanggil lima individu bagi direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Pihaknya turut bekerjasama dengan penduduk di kawasan sekitar untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dalam usaha melengkapkan siasatan kes.

Wan Hassan berkata, pihaknya memandang serius berhubung perkara itu dan percaya bom berkenaan dihasilkan individu mempunyai kepakaran mengenai bahan letupan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 11:57 AM