Serpihan bom buatan sendiri yang diletupkan UPB. FOTO Danial Saad
Serpihan bom buatan sendiri yang diletupkan UPB. FOTO Danial Saad
Anggota UPB membawa serpihan bahan letupan selepas kerja meletupkan sebuah kotak yang dipercayai mengandungi beberapa butir bom buatan sendiri ditemui berhampiran sebuah rumah di Jalan Badak Mati, Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
Anggota UPB membawa serpihan bahan letupan selepas kerja meletupkan sebuah kotak yang dipercayai mengandungi beberapa butir bom buatan sendiri ditemui berhampiran sebuah rumah di Jalan Badak Mati, Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
Oleh Azma Razana Johari


Nibong Tebal: Tiga daripada empat bom buatan sendiri berjaya diletupkan oleh anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang selepas ditemui ditinggalkan di kawasan lorong antara stor penyimpanan alat sembahyang dan kediaman dihuni seorang wanita di Jalan Badak Mati, Sungai Bakap, di sini, 11 pagi tadi.

Terdahulu, wanita berusia 50-an itu memetik bunga di kawasan lorong berkenaan di sebelah rumahnya dan berasa ada yang tidak kena selepas melihat kotak yang dibalut menggunakan kertas pembalut hadiah dan beg kertas ditinggalkan di situ.

Dia kemudian membuka kotak berkenaan sebelum melihat wayar warna putih dan paku menyebabkan dia panik dan terus melaporkan perkara itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pemeriksaan dilakukan anggota UPB mengesahkan objek berkenaan adalah bom buatan sendiri.

“Bom pertama diletupkan pada 3.16 petang, diikuti bom kedua pada 3.32 petang namun tidak aktif. Bom ketiga pula diletupkan pada 3.41 petang dan yang keempat pada jam 4.18 petang.

"Satu daripada bom berkenaan yang tidak meletup diserahkan kepada anggota UPB untuk pemeriksaan serta tindakan selanjutnya sekali gus membantu siasatan kes ini. Dua daripada bom berkenaan ditemui dalam kotak manakala baki dua lagi dibungkus dalam beg kertas.

"Anggota UPB terpaksa mengambil langkah keselamatan yang tinggi termasuk memakai sut khas untuk melakukan pemeriksaan dan meletupkan semua bom yang ditemui," katanya.

Katanya, penghuni kediaman berhampiran turut diminta mengosongkan rumah masing-masing dan berada pada jarak 100 meter luar dari lokasi bom berkenaan ditemui.

"Walaupun letupannya tidak kuat, namun kekuatan bom berkenaan sebenarnya boleh menyebabkan kecederaan dan kerosakan dalam lingkungan 100 meter," katanya.

Susulan penemuan bom berkenaan, pihaknya akan memanggil pemilik stor berkenaan serta penduduk berhampiran untuk diambil keterangan bagi menjejak individu bertanggungjawab meninggalkan bahan letupan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Kakisan, Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1966 dan orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 8:05 PM