Chukai: Definisi mangsa banjir perlu diperluaskan dan tidak tertakluk kepada mereka yang berada di pusat pemindahan saja sebaliknya ia turut meliputi mereka yang berdepan kekangan lain seperti tanah runtuh, jalan dinaiki air atau halangan lain.

Umpamanya hampir 2,000 penduduk di Kampung Syukur, Pasir Raja, Kuala Jengal dan Jongok Batu di Dungun yang tidak dapat keluar dari kawasan kampung mereka kerana satu-satunya jalan ke situ runtuh pada 24 Disember lalu menyebabkan bekalan makanan mereka hampir terputus.

Malah, ada di antara rumah penduduk tidak dinaiki air tetapi jalan ke kawasan berkenaan dinaiki air menyebabkan mereka tidak dapat keluar mencari makanan sehingga terperangkap di situ beberapa hari.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sudah tiba masanya penghantaran bekalan makanan tidak hanya tertumpu di pusat pemindahan semata-mata sebaliknya turut mengambil kira faktor lain.

“Misalnya, agensi sokongan seperti polis dan bomba, mereka juga (rumah dan balai) dinaiki air, tetapi kalau ia tidak dimasukkan atau didaftar di pusat pemindahan, bekalan makanan tidak dapat dihantar kepada mereka.

“Jadi kita perlu cari kaedah lain supaya awal-awal lagi, mereka diberi bekalan seperti beras supaya orang yang membuat kerja menyelamat dan menjaga pemindahan mangsa banjir tidak risau akan keluarga mereka.

“Ini juga perlu kita beri perhatian pada masa akan datang,” katanyaselepas menghadiri gotong-royong membersihkan Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, prosedur operasi standard (SOP) ketika banjir juga perlu diperkemaskan dan disesuaikan mengikut tempat, contohnya di Kemaman pihaknya menyediakan beg tidur yang sudah ditempah dua bulan lebih awal.

Katanya, sebuah lori tiga tan boleh memuatkan 1,000 beg tidur sekali gus memberi keselesaan kepada ramai orang berbanding hanya sekitar 300 hingga 400 tilam dalam lori sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:11 AM