DUA kenderaan ditenggelami banjir ekoran beberapa pemiliknya tidak sempat menyelamatkan kenderaan mereka selepas air naik secara mendadak di Kampung Buluh hari ini. FOTO Bernama
DUA kenderaan ditenggelami banjir ekoran beberapa pemiliknya tidak sempat menyelamatkan kenderaan mereka selepas air naik secara mendadak di Kampung Buluh hari ini. FOTO Bernama
Rosli Ilham


Kemaman: Penduduk di beberapa kawasan di daerah ini mengalami gangguan bekalan elektrik berikutan kawasan Pencawang Masuk Utama (PMU) dinaiki air.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, berikutan itu, kira-kira 20,000 pengguna terbabit dengan gangguan itu.

"Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Paya Berenjut, Chukai hingga ke Felda Neram serta Air Putih.

"Bekalan elektrik di beberapa kawasan itu terpaksa diputuskan sementara waktu berikutan hujan lebat yang menyebabkan banjir berlaku, "katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang berusaha membaik pulih keadaan yang berlaku itu.

"Setakat ini usaha sedang dilakukan dan kira-kira 10,000 pengguna sudah mula mendapat bekalan elektrik secara berperingkat.

"Kita berharap kepada semua pengguna yang terbabit supaya bersabar kerana penutupan bekalan elektrik itu dilakukan demi keselamatan semua pihak, "katanya.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, pihak TNB turut menempatkan generator di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang turut terjejas.

"PPS yang terjejas itu ialah di Sekolah Kebangsaan Geliga dan Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol, "katanya.

Sementara itu, Hanafiah berkata, hujan lebat yang melanda daerah Kemaman sejak jam 11 malam tadi menyebabkan jalan utama Bandar Chukai dinaiki air.

"Beberapa premis kerajaan termasuk Hospital Kemaman, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman turut dinaiki air sekitar 0.2 meter, "katanya.

Katanya, banjir yang melanda kawasan Bandar Kemaman juga menyebabkan penduduk di Taman Fikri, Kampung Mak Lagam, Kampung Bukit Kuang dipindahkan kira-kira jam 3 pagi tadi.

"Kita menasihati penduduk di Kemaman supaya sentiasa berwaspada kerana hujan masih berlaku serta air hulu mulai turun ke bandar.

"Kita minta penduduk segera berpindah ke PPS sekiranya air mulai naik di kawasan penempatan masing-masing, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:18 PM