KEADAAN di Pusat Pemindahan Bencana Dewan Seri Puteh Tok Lawit, Hulu Terengganu, Terengganu.
KEADAAN di Pusat Pemindahan Bencana Dewan Seri Puteh Tok Lawit, Hulu Terengganu, Terengganu.
AIR mula naik di Perumahan Kampung Padang Kubu, Kemaman, Terengganu.
AIR mula naik di Perumahan Kampung Padang Kubu, Kemaman, Terengganu.

Kemaman: Seramai 42 penduduk di Kampung Padang Kubu dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir selepas kediaman mereka dinaiki air sejak awal pagi semalam.

Hujan lebat sejak tengah malam kelmarin menyebabkan paras air di Sungai Kampung Teladas, Air Putih melebihi paras bahaya iaitu setinggi 17 meter dan tidak boleh dilalui semua kenderaan.

Selain itu, jalan menghubungkan penduduk Kampung Padang Kubu ke Kampung Sungai Mas tidak boleh dilalui kenderaan ringan berikutan air sudah mula menutupi jalan setinggi 0.5 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Padang Kubu Che Ku Yusof Che Ku Ismail ketika ditemui berkata, dua pusat pemindahan dibuka di Berek Kilang dan Balai Raya Kampung Padang Kubu jam 9.45 pagi semalam.

Menurutnya, mangsa banjir mula dipindahkan ke dua pusat pemindahan itu pada jam 10 pagi apabila air mula memasuki kediaman mereka.

“Kita sudah bersiap sedia lebih awal bagi berdepan bencana banjir ini. Semua pihak berwajib sudahpun berada di sini sejak semalam.

“Setiap mangsa banjir akan dibekalkan dengan keperluan asas antaranya kit makanan awal, selimut, beg tidur dan air bersih untuk kemudahan mereka sepanjang tinggal di pusat pemindahan banjir. Segala keperluan mereka akan dibantu oleh petugas banjir yang ada,” katanya.

Mangsa banjir, Zaidi Osman, 60, berkata, air memasuki kediamannya dengan cepat pada awal pagi menyebabkan dia sekeluarga terpaksa keluar menuju ke pusat pemindahan banjir bagi menyelamatkan diri.

Katanya yang pernah berpindah 11 kali ke pusat pemindahan banjir pada 2014, persiapan menghadapi banjir tahun ini dilakukan lebih awal bagi mengelakkan kerosakan barangan di rumahnya.

“Semua barang dah diletakkan di tempat tinggi dan ada yang dibawa ke rumah anak-anak supaya banjir kali ini saya tak tanggung rugi banyak sangat seperti sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 9:45 AM