Media tempatan dan asing bertugas di Manggar, Belitung Timur, kelmarin menghadapi kesukaran berikutan tiada maklumat tepat berhubung lokasi pengurusan jasad mangsa pesawat QZ8501 milik AirAsia Indonesia.

Semalam, Harian Metro melaporkan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) mengambil keputusan menjadikan Pelabuhan Tanjung Rhu, Belitung Barat sebagai lokasi pengurusan jenazah.

Wartawan akhbar ini serta media lain diarahkan pihak berwajib ke pelabuhan itu yang berjarak 130 kilometer dari pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) Manggar.

Namun, tinjauan di Pelabuhan Tanjung Rhu pada jam 12 tengah malam mendapati tiada sebarang pergerakan di situ.

Wartawan serta beberapa lagi rakan media lain termasuk dari Indonesia dan Singapura meninjau dua lagi pelabuhan di Belitung Barat iaitu Pelabuhan Tanjung Batu dan Pelabuhan Tanjung Pandan untuk mendapatkan kepastian.

Di Tanjung Pandan, wartawan menemui anggota SAR di atas kapal BASARNAS yang baru berlabuh selepas selesai melakukan operasi.

Bagaimanapun, jawapan diberikan mengelirukan iaitu ada anggota memberitahu jasad akan tiba ke pelabuhan itu, namun rakannya menyatakan sebaliknya.

Petugas di Pelabuhan Tanjung Batu pula menyatakan bahawa pusat pengurusan jenazah tidak dibuka di lokasi itu.

Cubaan wartawan Harian Metro menghubungi Ketua Seksyen Operasi BASARNAS Pangkalan Bangka-Belitung, Andri Andy akhirnya berjaya dan beliau menjelaskan lokasi pengurusan jenazah ditukarkan ke Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah yang menjadi titik penemuan jasad dan serpihan bangkai pesawat Airbus A320-200.

Kumpulan media yang sebelum ini berkampung di Pos Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) di Manggar, Belitung Timur, mendapatkan tiket penerbangan seawal jam 8 pagi untuk ke Jakarta sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Iskandar di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.

Wartawan Harian Metro dan empat lagi rakan setugas Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) menunggu enam jam untuk meneruskan perjalanan ke Pangkalan Bun dari Jakarta.

Setibanya di Lapangan Terbang Iskandar, di sini, wartawan mendapati lokasi itu kini menjadi tumpuan pemberita dalam dan luar negara kerana ia berhampiran kawasan penemuan mangsa dan serpihan pesawat QZ8501 milik AirAsia Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 8:28 AM