Seremban: Tiga maut dan 10 cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 265.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Plaza Tol Seremban, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian jam 3 petang itu berlaku apabila treler membawa muatan pelet kayu dari arah utara dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan menyebabkan bas ekspres gagal mengelak lalu bertembung.

“Pertembungan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke kiri jalan dan merempuh lori penyelenggara jalan yang diletakkan di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan dua lelaki iaitu pemandu treler dan bas serta seorang penumpang wanita maut di tempat kejadian manakala 10 penumpang lain cedera.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, untuk rawatan dan tiga mangsa yang meninggal dunia dibedah siasat di hospital sama,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan saksi kejadian diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:30 AM