Rakaman video tular memaparkan sekumpulan lelaki menyambut perayaan dengan membakar mercun di atas jalan raya di Kuala Sawah, Rantau, di sini, kini membawa padah apabila mereka diburu polis. Foto tular.
Rakaman video tular memaparkan sekumpulan lelaki menyambut perayaan dengan membakar mercun di atas jalan raya di Kuala Sawah, Rantau, di sini, kini membawa padah apabila mereka diburu polis. Foto tular.
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Keghairahan sekumpulan lelaki menyambut perayaan sehingga membakar mercun di atas jalan raya di Kuala Sawah, Rantau, di sini, membawa padah apabila mereka kini diburu polis.

Dalam rakaman yang tular sejak semalam, kumpulan berkenaan dilihat membakar mercun di persimpangan jalan sehingga menyebabkan trafik terhalang dari semua arah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, kejadian dipercayai berlaku kelmarin sebelum tular sejak semalam.

"Kami mengesan satu video tular di Facebook berdurasi 54 saat mengenai perbuatan membakar mercun di atas jalan raya di Kuala Sawah.

"Siasatan mendapati satu laporan polis diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perbuatan itu membabitkan tindakan sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa dan harta benda.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Mohd Rosli berkata, pihaknya sedang mengesan individu yang kelihatan membakar mercun di dalam rakaman video itu.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Asma Zafira Mohd Yusop di talian 013-2386281 atau 06-6033222 untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 12:50 PM