Warga Singapura maut selepas kereta terbabas dan melanggar besi penghadang jalan. FOTO IHSAN BOMBA
Warga Singapura maut selepas kereta terbabas dan melanggar besi penghadang jalan. FOTO IHSAN BOMBA
Ahmad Hasbi


Seremban: Warga Singapura maut sejurus kereta dinaiki terbabas dan melanggar besi penghadang jalan berhampiran susur masuk plaza tol Port Dickson di Kilometer (KM) 259, Lebuhraya Plus di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari mengakibatkan mangsa tersepit sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan kereta model Nissan Almera dipandu seorang lelaki warga Singapura berusia 24 tahun.

"Mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum merempuh penghadang besi lebuh raya," katanya.

Beliau berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) bagi prosedur bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh hubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 4:26 PM