JENAZAH Rafidah dibawa keluar untuk dikebumikan.
JENAZAH Rafidah dibawa keluar untuk dikebumikan.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Fuzi Lateh

Seremban: “Kami baru saja membeli kelengkapan bayi Sabtu lalu untuk menyambut kehadiran anak sulung, namun hasrat menimang cahaya mata tidak kesampaian,” kata penyelia syarikat pembersihan, Haspidi Hashim, yang kematian isteri, Rafidah Abdul Amir, 34, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 265.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Seremban, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kemalangan berlaku apabila sebuah treler dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung bas ekspres yang kemudian merempuh pula lori penyelenggara jalan di bahu jalan.

Difahamkan Haspidi, 35, pengsan beberapa kali sejurus mengetahui kejadian selepas dihubungi polis.

Menurut Haspidi, mereka berkahwin 18 Mei lalu dan hanya berjumpa pada hujung minggu disebabkan isterinya bekerja sebagai pembantu tadbir di Perak.

“Saya tidak sangka perpisahan kami selepas menghantarnya menaiki bas adalah buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, Selangor semalam.

Haspidi berkata, biarpun sedih dia reda dengan ketentuan Ilahi apabila kehilangan isteri dan anak dalam kandungan serentak.

Difahamkan, Rafidah sepatutnya duduk di bahagian tengah, namun sebaik bas bergerak, dia menukar tempat dan duduk di depan iaitu belakang pemandu bas.

Sementara itu, bapa angkat Haspidi, Md Ramli Maalip, 58, berkata, kematian Rafidah sangat menyayat hati apabila memakai baju akad nikah ketika kejadian.

“Suaminya pelik apabila arwah mahu memakai baju itu, namun tidak menyangka ia petanda buruk,” katanya ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian Haspidi menghantar isterinya yang mengandung tujuh bulan itu menaiki bas di Terminal Bas dan Teksi Melaka Sentral untuk pulang ke Perak jam 1 petang.

“Arwah bekerja sebagai pembantu tadbir di Institut Tanah dan Ukur Negara di Behrang, Perak manakala Haspidi ialah penyelia di syarikat pembersihan milik anak saya di Melaka. Kebiasaannya Haspidi menaiki bas bersama untuk menghantar isterinya ke Kuala Lumpur, tetapi semalam (kelmarin) dia tidak dapat ikut kerana hal tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 7:28 AM