MAYAT seorang lelaki dengan kesan luka pada beberapa bahagian badan ditemui di Jalan Toman 8, berhampiran sebuah hospital swasta, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
MAYAT seorang lelaki dengan kesan luka pada beberapa bahagian badan ditemui di Jalan Toman 8, berhampiran sebuah hospital swasta, di sini, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis mengesahkan mayat di Jalan Toman 1, berhampiran sebuah hospital swasta, di sini, pagi Selasa lalu berpunca langgar lari sekali gus menyangkal dakwaan kes buang mayat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil siasatan lanjut dan keputusan bedah siasat mendapati mangsa dilanggar kenderaan di lokasi kejadian itu sebelum disahkan meninggal dunia.

"Berlaku satu kemalangan jalan raya langgar lari membabitkan seorang pejalan kaki dengan sebuah kenderaan di Jalan Toman 1, Seremban, kira-kira jam 11.45 pagi, 27 Jun lalu.

"Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila seorang pejalan kaki (mangsa) iaitu seorang lelaki berumur 39 tahun, sedang berjalan kaki seorang diri dari arah kawasan tempat letak kenderaan sebuah hospital swasta di Jalan Toman 1 menuju ke arah Jalan Toman 8," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa disyaki dilanggar sebuah kenderaan jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti menyebabkan mangsa terjatuh dan tertiarap di atas jalan raya.

"Akibat kemalangan, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat," katanya.

Justeru beliau berkata, sesiapa yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Sudesh Kumar di talian 016-4830853.

"Atau boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.

"Sebelum ini kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) namun kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang lelaki di lokasi kejadian dan terdapat dakwaan mengaitkan kejadian itu dengan jenayah buang mayat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 12:45 PM