POLIS menahan seorang lelaki yang cuba melarikan sebuah tablet pintar di kios perniagaan di PD Waterfront, kelmarin.
POLIS menahan seorang lelaki yang cuba melarikan sebuah tablet pintar di kios perniagaan di PD Waterfront, kelmarin.
Oleh Rozainah Abdul Rahim

Port Dickson: Tindakan seorang lelaki yang cuba melarikan sebuah tablet pintar di kios perniagaan di sebuah pasar raya di PD Waterfront, di sini, tidak kesampaian apabila suspek dikejar orang ramai sejauh satu kilometer sebelum diberkas, kelmarin.

Mangsa yang juga peniaga, Rashidah Abdullah, 44, berkata, dalam kejadian jam 3.15 petang, dia didatangi seorang lelaki di premis perniagaan tudung miliknya.

Katanya, ketika sedang melayan pelanggan, lelaki itu secara tiba-tiba membuka laci dan melarikan tablet miliknya menyebabkan orang ramai yang melihat kejadian mengejar suspek hingga ke Padang Port Dickson, di sini.

Katanya, ketika itu, tiga anggota polis peronda (MPV) yang melalui jalan berkenaan turut mengejar suspek sebelum lelaki terbabit berjaya dicekup.

“Saya bersyukur kerana orang ramai dan pihak polis prihatin dengan kejadian itu dan saya mendapat semula tablet pintar yang dilarikan,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, di sini pada petang kejadian.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baharudin Mustapha yang dihubungi mengesahkan penangkapan ke atas suspek yang berusia 23 tahun itu.

Katanya, buat masa ini lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan siasatan mendapati suspek memiliki dua kes jenayah berkaitan dadah.

“Dengan tangkapan ini, kita (polis) dapat menyelesaikan beberapa kes ragut dan samun di daerah ini dan mengharapkan tangkapan itu mengurangkan kes jenayah di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 8:30 AM