Aidi Sham menunjukan dadah berjaya dirampas dalam tiga lokasi sekitar Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Aidi Sham menunjukan dadah berjaya dirampas dalam tiga lokasi sekitar Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


POLIS memberkas tiga penagih dan dua pengedar sebelum merampas dadah bernilai RM23,700 dalam tiga operasi berasingan di sekitar Port Dickson bermula Selasa lalu hingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika operasi di Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang, tiga sekawan yang leka menagih dadah ditahan dalam serbuan di kebun kelapa sawit jam 6.15 petang, Selasa lalu.

Katanya, seorang daripada lelaki itu adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang mana kaki kanannya kudung.

“Sebaik tiba, lelaki OKU terbabit cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal namun berjaya dihalang. Pemeriksaan beg sandang dibawanya menemui 15.1 gram (g) heroin.

“Dua rakan suspek turut ditahan dan polis turut menemui 0.58g heroin. Ketiga-tiga lelaki berusia 33 hingga 41 tahun kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di IPD Port Dickson, hari ini.

Menurut Aidi Sham, dalam kes berasingan jam 10 malam semalam, seorang pengedar lelaki berusia 24 tahun ditahan polis ketika berada di hadapan pusat cuci kenderaan di Kampung Permatang Pasir.

Katanya, menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri namun berjaya dicekup.

“Pemeriksaan menemui 112.22g heroin dan 43.7g syabu dalam beg sandangnya. Dadah bernilai RM13,000 itu adalah untuk bekalan 400 penagih di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya lagi, tidak sampai 24 jam, seorang lagi pengedar berjaya ditahan di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Pantai jam 9.30 pagi, hari ini.

Katanya, ketika di lokasi, suspek berusia 31 tahun sedang tidur dan pemeriksaan di dapur rumah menemui serbuk dipercayai heroin seberat 373.27g.

“Bagi tangkapan di Kampung Sungai Sekawang dan Kampung Permatang Pasir, keempat-empat suspek direman sehingga 19 Februari ini. Bagi tangkapan terakhir, polis akan memohon reman di mahkamah esok,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 6:25 PM