IBU bapa mangsa menenangkannya sebaik berjaya menyelamatkan diri.
IBU bapa mangsa menenangkannya sebaik berjaya menyelamatkan diri.

Kota Bharu: “Lelaki itu berulang kali mengugut mahu bunuh jika saya cuba melarikan diri,” kata budak perempuan berusia 10 tahun yang diculik oleh seorang lelaki di depan Wat Ariyakhiri, berhampiran rumahnya di Kampung Aril, Melor, dekat sini, petang kelmarin.

Menurutnya, dia bersama rakan perempuannya berusia 12 tahun sedang menolak basikalnya sebaik keluar dari wat berkenaan, kira-kira jam 3.30 petang.

Katanya, tiba-tiba muncul sebuah kereta jenis Proton Saga dari belakang yang dipandu perlahan melanggar basikalnya.

“Pemandu kereta itu keluar dan terus mendukung saya masuk ke dalam kereta tanpa menghiraukan jeritan rakan saya yang cuba membantu sebelum dia disepak.

“Saya turut diarahkan berdiam diri dan merebahkan tubuh di sebelah tempat duduk pemandu bagi mengelakkan dikesan orang ramai,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan, budak perempuan itu bernasib baik apabila berjaya melarikan diri selepas kereta digunakan untuk melarikannya tersangkut dalam selut.

Dia dilarikan sejauh 22 kilometer sebelum melarikan diri dan ditemui penduduk kampung.

Katanya, walaupun takut, dia menguatkan semangat dan cuba mencari jalan melarikan diri sebaik diculik oleh lelaki yang dipercayai penduduk tempatan itu.

“Saya bernasib baik kerana kereta yang dipandu oleh lelaki itu tiba-tiba tersangkut dalam selut. Sebaik diminta bersembunyi, saya menanggalkan gelang loceng di kaki bagi mengelak bunyi bising dan terus melarikan diri sebelum ditemui penduduk kampung dan diserahkan kepada polis,” katanya yang meredah sawah dan semak berduri sebelum ditemui penduduk kampung.

Kanak-kanak itu mengakui sehingga kini dia masih trauma dan berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Mat Isa berkata, pihaknya akan mengedarkan fotofit suspek dalam masa terdekat.

Katanya, sehingga kini gerakan memburu suspek masih dilakukan walaupun berdepan cabaran berikutan tiada saksi yang melihat secara jelas kejadian itu melainkan mangsa.

“Lokasi kejadian di kawasan kampung dan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV). Bagaimanapun, kita yakin suspek yang menggunakan kereta Proton Saga itu akan ditahan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:47 AM