Cermin tingkap rumah mangsa yang dipecahkan penjenayah. FOTO ihsan polis
Cermin tingkap rumah mangsa yang dipecahkan penjenayah. FOTO ihsan polis
Ibrahim Isa


Pontian: Lelaki warga Indonesia ditahan penduduk Kampung Parit Madirono, Benut, di sini, malam semalam, selepas dia cuba memecah masuk rumah seorang penduduk.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, pemilik rumah berusia 50 tahun menyedari seorang lelaki cuba memasuki rumahnya menerusi tingkap.

"Mangsa menjerit meminta isteri dan anaknya keluar rumah sambil meminta tolong penduduk kampung.

"Suspek berusia 22 tahun yang panik cuba melarikan diri namun jaketnya tersangkut pada cermin hingga mencederakan tangan kanan.

"Suspek berjaya ditahan penduduk kampung di sebuah kebun sawit di kawasan berhampiran sebelum diserahkan kepada polis," katanya.

Menurutnya, suspek dihantar ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 6:21 PM