PENDUDUK menggunakan laluan tak berturap   serta berlecak sepanjang lapan kilometer di Kampung Baru Sungai Johor berhampiran Felda Ulu Tebrau.
PENDUDUK menggunakan laluan tak berturap serta berlecak sepanjang lapan kilometer di Kampung Baru Sungai Johor berhampiran Felda Ulu Tebrau.
Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: Laluan tidak berturap, lecak dan licin sepanjang lapan kilometer di Kampung Baru Sungai Johor berhampiran Felda Ulu Tebrau di sini disifatkan sangat berbahaya kepada penduduk terutama ketika musim hujan.

Peneroka kampung itu, Muhammad Sam Khamis, 71, berkata, sejak kampung itu dibuka pada 1993, laluan sedia ada tidak pernah berturap sehingga menyebabkan ada sesetengah penduduk terpaksa berpindah kerana tidak sanggup berdepan laluan mencabar dan berbahaya untuk keluar serta masuk kampung.

Katanya, keadaan lebih teruk apabila hujan kerana jalan menjadi licin selain terdapat kawasan yang digenangi air dan kedudukannya curam di tepi parit serta lereng bukit.

"Hanya motosikal dan kenderaan pacuan empat roda yang dapat masuk ke kampung berkenaan, namun kadang-kala ia rosak juga.

"Kereta langsung tidak dapat menggunakan laluan berkenaan kerana khuatir tersangkut dalam selut atau lopak air.

"Kami difahamkan laluan berkenaan berada di bawah pihak pengurusan Felda Ulu Tebrau dan saya sangat berharap ia dapat diturap atau dibaik pulih, sekali gus merancakkan lagi aktiviti perladangan di sini," katanya.

Sementara itu, Ismail Hashim, 52, berkata, keadaan laluan itu agak menakutkan terutama jika berlaku kecemasan pada waktu malam termasuk ketika ada penduduk yang mahu ke hospital kerana sakit atau mahu bersalin.

Menurutnya, masalah itu sudah disuarakan kepada pihak terbabit sejak empat tahun lalu tetapi sehingga kini masih tiada tindakan.

"Lebih 350 peneroka mengusahakan tanah seluas 323 hektar di kampung ini dan ramai mahu tinggal di sini, malangnya ramai yang sudah berpindah ke lokasi lain kerana keadaan laluan keluar masuk yang teruk.

"Kira-kira 80 peratus keluarga sudah berpindah dan kini hanya terdapat kurang 10 keluarga menetap di sini.

"Walaupun sudah berpindah rumah, tetapi kami sebagai peneroka dan pekerja terpaksa mengharungi kawasan laluan ini setiap hari untuk bekerja hingga menimbulkan tekanan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ali Abd Rahman, 49, berkata, disebabkan keadaan jalan yang teruk, ramai penduduk menyewa di Felda Ulu Tebrau kerana lebih mudah serta selamat untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tebrau berbanding menetap di kampung itu.

"Sebelum ini ada kes ibu bapa yang terjatuh ketika menghantar anak berulang alik ke SK Ulu Tebrau," katanya.

Sementara, Mohd Farid Md Yusof, 30, berkata, kereta Proton Saga miliknya rosak akibat menggunakan jalan itu dan terpaksa menjualnya beberapa bulan lalu.

"Saya kini hanya menggunakan motosikal dan menggunakan jalan di dalam kebun sawit yang hanya boleh dilalui motosikal untuk ke kedai runcit atau ke jalan besar dengan hanya 10 minit perjalanan," katanya.

"Saya berharap masalah jalan itu segera diberi perhatian sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sungai Melayu, Shahdon Abd Wahab berkata, kampung itu dibuka pada 1993 membabitkan 30 peneroka asal.

Beliau berharap usaha bagi menaik taraf laluan berkenaan akan dijalankan selain mencadangkan satu lagi laluan alternatif untuk ke kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 6:03 AM