AZMIN melihat aktiviti murid Persatuan Tadika Islam selepas merasmikan Hari Tadika Selangor 2014, semalam.
AZMIN melihat aktiviti murid Persatuan Tadika Islam selepas merasmikan Hari Tadika Selangor 2014, semalam.

Shah Alam: Tindakan tegas perlu diambil oleh Kerajaan Pusat terhadap syarikat konsesi air yang masih enggan menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, kelewatan syarikat konsesi menerima tawaran pengambilalihan sepatutnya tidak berlaku kerana tempoh yang cukup sudah diberikan.

Menurutnya, kelewatan terhadap persetujuan pengambilalihan itu juga mempertaruhkan nasib rakyat negeri ini yang sepatutnya menerima perkhidmatan air yang baik.

“Menteri yang bertanggungjawab dalam isu penstrukturan ini sudah memberi tempoh lima minggu supaya perjanjian itu ditandatangani antara konsesi air dan kerajaan negeri, tetapi sehingga kini perkara itu masih belum berlaku.

“Tekanan kepada konsesi berkenaan perlu diberikan supaya isu penstrukturan air dapat diselesaikan secepat mungkin. Kami juga mengambil pendirian tegas serta tidak akan memihak kepada syarikat yang cuba lengahkan penstrukturan ini,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Tadika Peringkat Negeri Selangor 2014, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai pendirian agar kandungan perjanjian penstrukturan air didedahkan kepada umum.

“Perjanjian ini perlu didedahkan supaya rakyat faham sepenuhnya mengenai proses pengambil alihan industri air di negeri itu.

“Kerajaan negeri sudah menghantar surat kepada Kerajaan Pusat supaya kandungan perjanjian didedahkan namun sehingga kini tiada jawapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:14 AM