Norrasyidah Arshad


KERAJAAN Selangor hanya akan menilai semula tarif air dan pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat negeri ini pada suatu masa sesuai.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata penilaian itu akan dibuat sebagai langkah untuk tidak membebankan kerajaan negeri serta rakyat.

"Matlamat penstrukturan air ini adalah untuk ambil operasi rawatan dan pengagihan bekalan air dari syarikat konsesi sedia ada.

"Justeru, bila masa sesuai, kita harus nilai semula supaya ia tidak bebankan kerajaan negeri dan rakyat," katanya ketika menjawab soalan dari Lau Weng San (DAP-Banting) pada sesi soal jawab, di sini, pagi ini.

Amirudin (PKR-Dusun Tua) berkata, ketika ini, kerajaan negeri akan mengekalkan pemberian air percuma selain tidak akan menaikkan tarif air.

"Sebarang keputusan berkaitan kenaikan tarif air akan ikut kemampuan rakyat," katanya.

Dalam masa sama, Amirudin turut menempelak kenyataan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berkenaan dakwaan rakyat Selangor perlu membayar 10 kali ganda harga tarif air dan menganggap dakwaan itu sebagai propaganda.

SHAH ALAM 04 OGOS 2018. Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyampaikan perbahasan di Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Ke Empat Belas Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor.  NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.
SHAH ALAM 04 OGOS 2018. Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyampaikan perbahasan di Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Ke Empat Belas Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

Pada 3 Ogos lalu, kerajaan Selangor melalui Air Selangor mengemukakan surat tawaran pengambilalihan itu kepada wakil pemegang saham Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM2.55 bilion, selepas ditolak diskaun sebanyak 28 peratus penilaian semasa SPLASH pada 30 Jun 2018.

Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sejak sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan SPLASH.

Kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pernah dilaporkan menolak cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengguna pakai nisbah 60:40 bagi pemerolehan ekuiti SPLASH.

Berdasarkan cadangan itu, 60 peratus pembiayaan adalah daripada Kerajaan Persekutuan melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), manakala 40 peratus daripada Kerajaan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 2:27 PM