AHMAD Najmi (kiri) bersama penerima Anugerah Sultan Ibrahim, Muhammad Nur Annuar Mohd Yunos (tengah) dan Teo Yen Bin.
AHMAD Najmi (kiri) bersama penerima Anugerah Sultan Ibrahim, Muhammad Nur Annuar Mohd Yunos (tengah) dan Teo Yen Bin.
Mohd Hanafis Abd Haris

Batu Pahat: Pengalaman bersama ibu dan dua adiknya menumpang lori meredah ladang sawit sejauh tujuh kilometer ke sekolah menjadikannya tidak mudah menyerah kalah, sebaliknya memangkin mencipta kejayaan sehingga menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) di majlis Konvokesyen ke-16 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Pelajar jurusan Sains Komputer (Teknologi Web), Ahmad Najmi Amerhaider Nuar, 26, kini mampu tersenyum apabila meraih anugerah pencapaian akademik tertinggi pada majlis itu selain menggenggam segulung ijazah Sarjana Muda Sains Komputer.

Ahmad Najmi mengakui kejayaannya hari ini hasil semangat dan dorongan ibunya, Norhayati Mohd Amin, 54, yang tidak putus menyokong usahanya mencapai cita-cita.

Menurut pemuda kelahiran Segamat itu, dia dan dua adiknya dibesarkan secara sederhana oleh ibunya sejak kecil, tetapi sentiasa meletakkan azam menuntut ilmu di kedudukan paling penting.

“Sejak kecil, ibu menanam semangat kami adik beradik belajar. Jika dikenang kembali ibu yang terpaksa berjalan kaki enam kilometer setiap hari ke tempat kerjanya cukup membuatkan saya sebak.

“Malah, pengalaman bersama ibu, adik lelaki dan perempuan menumpang lori ke sekolah rendah akan saya ingat sampai bila-bila. Ibu kini bertarung dengan kanser payu dara, jadi tiba masanya kami berkorban untuk ibu pula,” katanya yang turut membuka syarikat pembangunan laman web sejak tiga bulan lalu di Parit Raja, di sini.

Menurutnya, pengalaman mematangkan dirinya kerana sebelum ini dia bukan pelajar cemerlang baik dari peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Namun, saya tidak mahu jadikan ia alasan untuk menyerah kalah. Saya bangkit dengan mengambil Sijil Kemahiran Komputer di Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) pada 2008 sebelum menyambung Diploma Kolej PolyTech Mara (KPTM) dalam bidang Teknologi Maklumat.

“Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di UTHM dan hari ini menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer,” katanya yang turut menyambung ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sama.

Menurutnya, tiada rahsia atau resipi kejayaan dan dia hanya menumpukan pelajaran dalam kelas, selain kerap membuat ulang kaji tambahan selepas tamat sesi pembelajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:09 AM