TAN (tengah) dan Mohamad Wijdan (kanan) bersama Mohamad Sabrie Hazizan (kiri) yang turut menerima anugerah khas.
TAN (tengah) dan Mohamad Wijdan (kanan) bersama Mohamad Sabrie Hazizan (kiri) yang turut menerima anugerah khas.

Putrajaya: Pengorbanan dua rakan sebilik bangun sebelum waktu Subuh untuk mengulang kaji pelajaran bersama berbaloi apabila mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Kecemerlangan itu melayakkan kedua-duanya menerima Anugerah Khas dan Anugerah Graduan Terbaik pada Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Walaupun berlainan bangsa, pelajar jurusan mekatronik, Tan Wern Lee dan Mohamad Wijdan Mohd Ariff, masing-masing berusia 21 tahun dari Sungai Petani, Kedah bersyukur usaha diamalkan setiap hari hampir dua tahun lalu membuahkan kejayaan.

Wern Lee yang memperolehi Nilai Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.68 itu berkata, bagi memudahkannya bangun awal pagi, dia tidur seawal 9 malam.

Dia berkata, amalan itu menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk membolehkan badan mendapat rehat mencukupi, selain suasana waktu pagi yang tenang menyebabkan proses pembelajaran lebih mudah.

“Walaupun ada mengatakan ‘tidak remaja jika tidur awal kerana malam masih muda’, namun saya buat tidak tahu sahaja.

“Saya beruntung mempunyai Wijdan sebagai teman sebilik kerana dia pasti mengejutkan saya sekiranya dia bangun untuk solat Subuh, sebelum mengulangkaji bersama kira-kira tiga jam,” katanya selepas menerima diploma pada Majlis Konvokesyen ILTJM di sini, semalam.

Diploma disampaikan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Mohamad Wijdan yang memperoleh CGPA 3.56 berkata, dia belajar bersungguh-sungguh kerana ingin membantu keluarganya keluar daripada kepompong kesusahan.

Anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, ketika ini, ibunya Hazirah Ahmad, 49, mencari rezeki untuk keluarga selepas ayahnya, Mohd Ariff Hasbullah, 59, mengidap Parkinson lima tahun lalu.

“Ibu terpaksa mengambil upah membuat kuih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:10 AM