GRADUAN OKU, Muhammad Izzat Rosnan bersama ibu, Saadiah Ahmad dan bapa, Rosnan Yaakob pada Majlis Konvokesyen Ke-10 di UMP.
GRADUAN OKU, Muhammad Izzat Rosnan bersama ibu, Saadiah Ahmad dan bapa, Rosnan Yaakob pada Majlis Konvokesyen Ke-10 di UMP.

Kuantan: “Saya sentiasa bersikap positif dalam hidup,” kata Mohamad Arif Muahzim, 24, penerima Anugerah Pelajar Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-10 di sini, semalam.

Penuntut berasal dari Johor Bahru, Johor itu berkata, dia berpegang kepada prinsip berkenaan terutama ketika berdepan pelbagai masalah yang ada kalanya memberi kesan kepada pembelajaran.

Mohamad Arif yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian) berkata, seseorang perlu melihat setiap cabaran dan kesulitan dalam hidup sebagai ujian untuk mematangkan diri.

“Saya sentiasa positif dalam apa jua keadaan termasuk menghadapi cabaran dalam pembelajaran dan ia membolehkan saya menyelesaikan permasalahan dihadapi dengan lebih mudah.

“Bagi saya, sikap positif itu penting dan harus menjadi amalan supaya segala yang dirancang berjaya diselesaikan walaupun ada kalanya cabaran yang dihadapi sangat besar,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan daripada Canselor UMP yang juga Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama Naib Canselor UMP Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Mohamad Arif yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia menetapkan sasaran untuk meraih anugerah berkenaan pada hari pertama melanjutkan pengajian di UMP.

Dia yang kini berkhidmat sebagai pegawai keselamatan di tapak projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) di Kuala Lumpur berkata, kejayaannya hasil sokongan keluarga, pensyarah dan rakan.

“Memang saya mahu mendapat anugerah tertinggi ini kerana ia adalah kejayaan yang diimpikan setiap penuntut. Justeru, saya belajar dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai impian berkenaan,” katanya.

Menurut Mohamad Arif, cabaran terbesar sepanjang pengajian adalah mengekalkan komitmen atau istiqamah terhadap pembelajaran.

“Ia perlu diatasi supaya kita mendapat motivasi untuk mengekalkan kecemerlangan sejak hari pertama kuliah sehingga tamat pengajian,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah sama, Ng Teck Huai, 24, berkata, anugerah itu hadiah kepada ibu bapanya yang tidak putus-putus memberinya dorongan untuk berjaya dalam apa jua bidang diceburi.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, tekun, fokus dan memberi tumpuan penuh dalam pelajaran menjadi kunci kepada kejayaan meraih anugerah berkenaan.

“Falsafah hidup yang saya pegang sehingga hari ini ialah jangan sesekali kita mudah berputus asa apabila menghadapi masalah,” katanya yang kini bekerja sebagai jurutera proses di Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd.

Pada majlis sama, 2,553 graduan iaitu 36 penuntut ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (106), sarjana muda (1,510) dan 873 membabitkan diploma menerima sijil masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 9:45 AM