Muhammad Saufi Hassan


Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) mengingatkan orang ramai khususnya pengguna peranti Apple di negara ini supaya meningkatkan waspada.

  Ini kerana wujud ancaman baharu yang semakin meningkat daripada perisian hasad yang sangat canggih mensasarkan pengguna produk Apple di negara ini.

  Presidennya, Siraj Jalil berkata, ancaman ini termasuk penggunaan perisian hasad seperti Pegasus oleh Kumpulan NSO, memerlukan tindakan segera dan kesedaran yang mendalam daripada semua pengguna produk Apple khususnya IPhone, Macbook dan iPad.

  "Ancaman siber yang turut diberi amaran oleh pihak National Cyber Coordination & Command Centre (NC4) bukan sahaja mampu mengakibatkan pengguna kehilangan maklumat penting tetapi juga boleh kerugian kewangan kepada pengguna. 

  "Oleh itu, MCCA menggesa pengguna produk Apple untuk mengambil langkah demi melindungi diri dari kemungkinan serangan.

  "Antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah mengemas kini perisian serta memastikan semua peranti menjalankan versi terkini perisian untuk memanfaatkan penampalan keselamatan (security patch) yang terbaru," katanya.

  Beliau berkata, penggunaan kata laluan dan pengesahan dua faktor (2FA) untuk diaktifkan sebagai menambahkan lapisan keselamatan tambahan.

  "Pengguna boleh melakukan pemasangan aplikasi yang selamat iaitu hanya memasang aplikasi daripada App Store yang sah untuk mengelakkan risiko perisian hasad.

  "Pengguna perlu mengambil tindakan serius jika menerima notifikasi ancaman dan ikuti langkah yang disarankan untuk mengesahkan dan menghadapi ancaman tersebut," katanya.

  Menurutnya, MCCA menyeru semua pengguna agar menjadi lebih proaktif dalam melindungi data peribadi kerana keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 3:37 PM