GEDUNG aplikasi Apple, App Store sekat kira-kira 1.6 juta aplikasi berisiko. - FOTO Google
GEDUNG aplikasi Apple, App Store sekat kira-kira 1.6 juta aplikasi berisiko. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan

 

PENGGUNA hari ini sememangnya 'hidup' dalam transaksi atas talian sama ada ia membabitkan institusi kewangan ataupun gedung aplikasi pintar.

  Gedung aplikasi pintar juga menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk ada segelintir aplikasi yang sengaja dibina oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan intipan kepada peranti pengguna khususnya bagi data sensitif seperti perbankan

Sepanjang tahun lalu, gedung aplikasi Apple, App Store berjaya menyekat kira-kira 1.6 juta aplikasi yang dilabelkan sebagai berisiko atau tidak boleh dipercayai sekali gus mengelakkan pengguna gedung itu untuk menjadi mangsa.

  Tidak dinafikan, Apple adalah penyedia perkhidmatan gedung aplikasi pintar paling aktif untuk menyekat sebarang aplikasi berisiko berbanding sistem operasi lain.

  Baru-baru ini, Apple mengeluarkan kemaskini tahunan sepanjang 2021 dan memperlihatkan syarikat berkenaan melindungi pelanggannya dalam urus niaga berpotensi penipuan dengan transaksi hampir RM6.6 bilion.

  Pada masa sama, Apple juga menghentikan 1.6 juta aplikasi berisiko serta terdedah dan kemaskini aplikasi daripada menipu pengguna.

  Usaha Apple untuk mencegah dan mengurangkan penipuan di App Store memerlukan pemantauan dan kewaspadaan berterusan merentas berbilang pasukan.

Menerusi usaha Pembanterasan Penipuan 2021 oleh Apple, lebih 34,500 aplikasi ditolak kerana mengandungi ciri tersembunyi atau dokementasi yang tidak diisytiharkan oleh pembangunnya.

  Dianggarkan 157,000 aplikasi ditolak kerana mengandungi ciri 'spam', peniruan atau perkara yang memberi tafsiran salah kepada pengguna.

  Lebih 343,000 aplikasi pula ditolak kerana isu privasi serta keselamatan pengguna.

APPLE sekat lebih 3.3 juta transaksi kad kredit yang dicuri. - FOTO Google
APPLE sekat lebih 3.3 juta transaksi kad kredit yang dicuri. - FOTO Google

GEDUNG aplikasi menawarkan perkhidmatan yang pelbagai daripada aplikasi perniagaan sehingga kepada aspek produktiviti bagi kegunaan pengguna. - FOTO Google
GEDUNG aplikasi menawarkan perkhidmatan yang pelbagai daripada aplikasi perniagaan sehingga kepada aspek produktiviti bagi kegunaan pengguna. - FOTO Google

  Apple juga berjaya menyekat lebih 3.3 juta transaksi daripada kad kredit yang dicuri hasil daripada inisiatif serta komitmen berpanjangan syarikat terkemuka berkenaan dalam memberi ruang perkhidmatan selamat kepada pengguna.

  Usaha berterusan itu juga memperlihatkan lebih 170 juta akaun penipuan dinyahaktif manakala 118 juta cubaan untuk mewujudkan akaun penipuan ditolak.

  Bagi kebanyakan pengguna, data yang paling sensitif adalah membabitkan segmen transaksi institusi kewangan atau sebarang bentuk berkaitan kewangan dan ia sudah menjadi data paling sensitif kepada pengguna.

  Untuk sistem operasi lain, kewujudan pelbagai aplikasi sering menimbulkan isu keselamatan kepada pengguna kerana ia mungkin aplikasi yang sengaja dibina oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan data dengan mudah.

  Kebanyakan aplikasi terbabit yang tidak dikawal selia oleh pemilik gedung dibina dengan perisian hasad.

  Apple adalah pemilik gedung paling cemerlang serta proaktif dalam mendepani isu keselamatan siber sekali gus menjadikan ruang gedung aplikasi di App Store lebih selamat dan dipercayai oleh pengguna.

  Wujud juga kes-kes ancaman keselamatan siber ini berpunca daripada aplikasi yang sudah dipasang dengan perisian hasad dan akibatnya, ia mampu untuk mengintip segala bentuk maklumat sensitif daripada pengguna.

  Pengguna juga perlu lebih waspada dengan aplikasi yang ingin dipasang kepada telefon pintar mereka supaya tidak menjadi mangsa.

  Amalan terbaik sebagai pengguna adalah merujuk maklum balas aplikasi berkenaan di ruangan komen dan melakukan sedikit carian maklumat di Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 7:00 AM