Muhammad Saufi Hassan


Sebanyak 146 bilion ancaman siber disekat sepanjang tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan secara keseluruhan 55 peratus bagi pengesanan ancaman secara global.

  Firma keselamatan siber terkemuka, Trend Micro Incorporated memaklumkan sebanyak 555 juta serangan siber berjaya dihalang sepanjang tahun lalu dengan peningkatan 16 peratus jika dibandingkan pada 2021.

  Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia, Goh Chee Hoh berkata, serangan ransomware memperlihatkan peningkatan 16 peratus berbanding tahun lalu.

  "Jumlah perisian hasad yang dikesan melonjak sebanyak 71 peratus pada tahun lalu kepada lebih 50 juta.

  "Ini berkemungkinan besar berpunca daripada kerentatan jaringan peribadi maya (VPN)," katanya.

  Chee Hoh berkata, berlaku 'penjenamaan' semula kumpulan Ransomware dan bentuk serangannya juga bersifat pelbagai dalam usaha untuk menangani kemerosotan keuntungan.

  "Pada masa hadapan, kami menjangkakan kumpulan ini akan bergerak kepada segmen lain yang akan memanipulasi akses awal seperti penipuan saham, emel perniagaan yang sudah kompromi (BEC), pengubahan wang haram dan kecurian mata wang kripto.

  "Peningkatan 86 peratus dalam pengesanan perisian hasad pintu belakang serta menyasarkan pelayan web yang mengalami kelemahan," katanya.

  Beliau berkata, pihaknya mencadangkan kepada organisasi untuk sentiasa memantau serta menaiktaraf sistem keselamatan siber membabitkan akses aset siber.

  Menurutnya, ia penting untuk melihat tahap ketersediaan aset siber sesebuah organisasi dalam menghadapi ancaman semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 4:45 PM