Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhammad Saufi Hassan


SEBANYAK 25 juta peranti mudah alih sudah dijangkiti dengan perisian hasad (malware) dikenali ‘Agent Smith’ dan angka itu terus meningkat sehingga hari ini.

Ia didedahkan oleh sebuah firma keselamatan siber terkemuka, Check Point yang berpangkalan di San Carlos, California, Amerika Syarikat menerusi satu laporan keselamatan yang didedahkan baru-baru ini.

Menerusi kajian yang dilaksanakan firma itu menyatakan bahawa perisian hasad itu digunakan untuk memapar iklan tanpa keizinan pengguna.

Malah, kemampuan perisian hasad itu bukan sekadar paparan iklan, malah ia mampu untuk memasang aplikasi tanpa memerlukan arahan daripada pengguna yang mengandungi kod jahat.

Peranti yang sudah dicemari perisian hasad ‘Agent Smith’ akan melakukan salinan data pengguna, walaupun aplikasi itu tidak mendapat kebenaran pengguna untuk berbuat demikian.

‘Agent Smith’ mampu untuk melakukan klon aplikasi antaranya WhatsApp, pelayar web Opera dan SwiftKey.

Bagi pengguna yang mahu menyemak sama ada peranti mereka sudah dijangkiti perisian hasad itu, boleh melakukan langkah tertentu.

Pengguna sistem operasi Android, pengguna perlu pergi ke tab ‘setting’ > menekan tab ‘Apps’ atau ‘Application Manager’ dan menyemak sebarang aplikasi meragukan dan membuangnya daripada peranti.

Untuk pengguna iPhone pula, pergi ke ‘setting’ > menyemak aplikasi ‘Safari’ > ‘Option’ dan memastikan menandakan pada ruangan ‘block pop-ups’.

Selepas itu, pergi ke ‘Advanced’ dan ‘website data’, pengguna perlu membuang sebarang laman yang dirasakan meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 3:24 PM