WUJUD segelintir pengguna yang mudah terperangkap dengan pautan serta aplikasi muat turun meragukan.
WUJUD segelintir pengguna yang mudah terperangkap dengan pautan serta aplikasi muat turun meragukan.
Muhammad Saufi Hassan


Isu keselamatan siber bukan lagi perkara baharu dalam perbincangan malah sudah kerap kali diuar-uarkan dalam segenap segmen media.

Bagaimanapun, masih wujud segelintir mangsa yang mudah terpengaruh dengan perangkap siber sekali gus menjadi mangsa sehingga kepada kecurian data peribadi dan transaksi kewangan.

Kini, pengguna terdedah dengan serangan perisian hasad mudah alih dan Malaysia menduduki tangga kedua dalam jumlah serangan paling tinggi.

Untuk tahun lalu, sebanyak 103,573 insiden manakala untuk dua suku pertama tahun ini merekodkan 45,267 kes serta kekal di tangga kedua berbanding beberapa negara rantau ASEAN lain.

Sepanjang lebih dua tahun ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, kebanyakan individu sudah mengadaptasi transformasi digital baik daripada aspek pekerjaan sehingga kepada pembelajaran.

Keadaan itu memaksimumkan risiko mangsa siber kepada semua lapisan masyarakat memandangkan tempoh masa di skrin adalah lebih lama.

Firma keselamatan siber, Kaspersky mengesan dan menghalang hampir 400,000 serangan terhadap pengguna peranti mudah alih di seluruh rantau Asia Tenggara pada enam bulan pertama tahun ini.

PERISIAN hasad ini akan mengganggu peranti termasuk mencuri data sensitif pengguna.
PERISIAN hasad ini akan mengganggu peranti termasuk mencuri data sensitif pengguna.

Angka itu memperlihatkan peningkatan lebih 14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu apabila merekodkan insiden serangan sebanyak 336,680.

Biarpun kempen 'Penggunaan Peranti Sendiri' sudah dilaksanakan oleh kebanyakan firma besar di seluruh rantau ini bagi meningkatkan tahap keselamatan di ruang siber, namun masih wujud pengguna yang tidak mengambil peduli tentang saranan berkenaan.

Tinjauan yang dilakukan oleh Kaspersky tahun lalu menunjukkan bahawa lebih daripada dua pertiga responden menggunakan peranti peribadi untuk bekerja dari rumah.

Selain itu, pekerja juga menggunakan peranti kerja mereka untuk aktiviti peribadi seperti menonton video dan kandungan pendidikan, membaca berita, dan bermain permainan video.

Paling menarik, 33 peratus daripada 6,017 pekerja yang di seluruh dunia tahun lalu mengaku menggunakan peranti pejabat untuk menonton kandungan dewasa, sejenis kandungan yang sering menjadi sasaran penjenayah siber.

Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, laptop adalah peranti utama yang digunakan oleh semua lapisan pengguna bagi tujuan tugasan rutin.

"Bagaimanapun, agak membimbangkan apabila peranti sama turut digunakan untuk tujuan peribadi sekali gus meningkatkan kadar serangan siber terutamanya ketika melayari laman web kandungan dewasa.

MALAYSIA menduduki tempat kedua dalam serangan perisian hasad mudah alih dan serangan siber untuk dua tahun berturut-turut.
MALAYSIA menduduki tempat kedua dalam serangan perisian hasad mudah alih dan serangan siber untuk dua tahun berturut-turut.

"Kebanyakan serangan banyak berlaku apabila penyerang memasang perisian hasad di laman web dewasa sekali gus individu yang gemar menggunakan peranti pejabat untuk tujuan berkenaan adalah sangat berisiko.

"Perisian hasad mudah alih ini sememangnya direka untuk menyerang peranti segmen berkenaan seperti telefon pintar, tablet dan beberapa peranti lain," katanya.

Beliau berkata, antara serangan yang sering digunakan di rantau ini adalah Trojans, Trojan Downloader dan Trojan Dropper.

Katanya, ketiga-tiga program serangan itu sememangnya dibina untuk mengganggu sistem peranti pengguna termasuk akan memuat turun secara automatik versi perisian hasad yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:00 AM