PIHAK berkuasa tidak boleh mengekang semua bentuk penipuan yang semakin berkembang kebelakangan ini. - FOTO Google
PIHAK berkuasa tidak boleh mengekang semua bentuk penipuan yang semakin berkembang kebelakangan ini. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan

 

Kepekaan pengguna mampu menjadi jalan penyelesaian paling ampuh untuk mendepani isu penipuan atas talian khususnya ketika dunia teknologi hari ini semakin berkembang pesat.

  Keupayaan pihak berkuasa untuk mengekang ancaman ini adalah terhad namun pengguna boleh mengubahnya jika mereka lebih peka dengan sebarang penawaran yang bersifat 'terlalu sempurna'.

Bagi mendepani ancaman penipuan dalam talian, pengguna sendiri perlu lebih bijak serta peka tentang setiap penawaran, pautan dan transaksi yang ingin dilakukan.

  'Perang' terhadap penipuan bentuk ini tidak cukup semata-mata bergantung kepada pihak berkuasa saja sebaliknya ia perlu digembling secara bersama-sama dengan pengguna.

  Untuk rekod, sebanyak 51,632 kes penipuan dalam talian dilaporkan membabitkan jumlah kerugian lebih RM1.61 bilion daripada 2019 hingga tahun lalu.

  Ancaman keselamatan siber dalam dunia hari ini tidak mempunyai 'buku teks' yang khusus kerana modus operandi penggodam atau sindiket sering berubah mengikut keupayaan teknologi semasa.

  Ketua Unit Keselamatan, Syarikat Telekomunikasi Digi, N Sivakumar berkata, tiada 'baju kevlar' atau 'bulletproof' kepada pengguna untuk menghindarkan mereka daripada menjadi mangsa siber.

  Menurutnya, semua peringkat pengguna terdedah dengan serangan siber yang semakin kompleks dan kepekaan pengguna adalah sangat penting.

  "Kita di Digi sentiasa meneruskan kempen kesedaran khususnya untuk bentuk penipuan atas talian termasuk melaksanakan pendedahan berhubung isu ini di laman web.

Pengguna perlu lebih berwaspada untuk menghadapi kes penipuan atas talian. - FOTO Google
Pengguna perlu lebih berwaspada untuk menghadapi kes penipuan atas talian. - FOTO Google

  "Untuk rekod, negara sudah mengalami kerugian sebanyak RM750 juta akibat penipuan sejak tiga tahun lalu dan sindiket ini menggunakan cara serta saluran yang berbeza untuk memperdayakan mangsa mereka setiap hari.

  "Terdapat beberapa kaedah yang dilakukan oleh sindiket ini antara yang paling popular adalah 'memancing data' pengguna menerusi teknik phishing, penipuan media sosial, penipuan SMS dan perisian hasad atau 'malware'," katanya.

  Menurutnya, biarpun sudah banyak kempen serta maklumat berhubung taktik penipuan seperti ini, namun masih ada mangsa yang terperangkap dan terpengaruh dengan mereka.

  "Taktik mereka adalah mengatakan pemanggil berkenaan daripada pihak berkuasa, pegawai bank dan sebagainya.

  "Apabila penerima panggilan itu menerima bentuk panggilan seumpama ini, perlu diteliti supaya tidak terjerat dan tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi bersifat kritikal.

  "Pengguna jangan mudah percaya dengan tawaran yang terlalu sempurna dan perkara paling utama adalah tidak berkongsi kod kata laluan sekali (OTP) dengan orang yang tidak dikenali," katanya.

  Pada masa sama, beliau turut menyambut baik kewujudan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan memberi kesan yang baik kepada penurunan kes berkenaan.

  "Agensi ini akan membabitkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan isu kewangan.

  "Bagi mendepani isu scam ini, tidak cukup dengan agensi penguatkuasaan saja sebaliknya perlu juga kepekaan dan keprihatian pengguna itu sendiri," katanya.

TAKTIK penipuan pada hari ini lebih kompleks dengan perubahan modus operandi mengikut perkembangan teknologi semasa. - FOTO Google
TAKTIK penipuan pada hari ini lebih kompleks dengan perubahan modus operandi mengikut perkembangan teknologi semasa. - FOTO Google

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 7:00 AM