PENGGUNA perlu lebih berwaspada tatkala menerima mesej daripada kenalan  dan memastikan ia benar-benar kenalan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa Phishing.
PENGGUNA perlu lebih berwaspada tatkala menerima mesej daripada kenalan dan memastikan ia benar-benar kenalan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa Phishing.
Muhammad Saufi Hassan


SEBANYAK 11.6 juta data pengguna di Malaysia bagi platform mesej paling popular, WhatsApp sudah terdedah dan set data itu didapati dijual di sebuah portal penggodaman antarabangsa.

Terkini, dunia dikejutkan dengan penjualan 500 juta data pengguna aplikasi mesej paling popular iaitu WhatsApp di sebuah portal antarabangsa sekali gus keadaan itu menimbulkan pelbagai reaksi.

Pada 16 November lalu, seorang pengguna yang dikenali dalam komuniti penggodaman mendakwa mempunyai pangkalan data pengguna WhatsApp berjumlah 487 juta membabitkan nombor telefon pengguna.

Data pengguna di Malaysia terdedah sebanyak 11.6 juta iaitu kedudukan ke-11 dalam jumlah kebocoran data membabitkan negara lain.

Set data berkenaan mengandungi pengguna platform berkenaan di 84 buah negara seluruh dunia termasuk 32 juta pengguna berasal daripada Amerika Syarikat (AS).

Pada masa sama, pengguna daripada Mesir berjumlah 45 juta pengguna, Itali (35 juta), Arab Saudi (29 juta), Perancis (20 juta) dan Turkit (20 juta).

Data yang dijual itu termasuk 10 juta pengguna daripada Rusia dan lebih 11 juta pengguna membabitkan pengguna daripada United Kingdom (UK).

Penjualan data berkenaan membabitkan set data pengguna daripada AS dengan harga jualan hampir RM30,000, untuk pengguna di UK dijual pada harga RM11,000 dan data pengguna di Jerman bernilai RM8,800.

Data pengguna berkenaan selalunya digunakan untuk taktik pancingan data pengguna atau 'Phishing' supaya penggodam dapat lebih banyak maklumat pengguna.

Pengguna untuk platform WhatsApp berkenaan berjumlah lebih 2 bilion di seluruh dunia dan pengguna aktif sekali gus insiden kebocoran data berkenaan menimbulkan tanda tanya berhubung tahap keselamatan sistem pelayan mesej popular itu.

Bagaimanapun, penjual data berkenaan tidak menjelaskan bagaimana set data itu diperoleh namun hanya memaklumkan bahawa ia adalah strategi tertentu yang digunakan untuk memperoleh data berkenaan.

Sehingga kini, platform berkenaan masih tidak memberi maklum balas berhubung insiden terbabit.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil mengingatkan kepada pengguna untuk sentiasa berhati-hati tatkala menerima mesej yang menyamar sebagai kenalan.

"Ini adalah salah satu bentuk pancingan data (Phishing) dan pengguna perlu sentiasa peka supaya tidak menjadi mangsa kepada individu yang tidak dikenali menyamar sebagai kenalan kita.

"Peranan pengguna sangat penting dalam mendepani ancaman siber ini supaya tidak mudah menjadi mangsa dan tidak mengharapkan 100 peratus kepada pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 7:01 AM