HAZIZAH berjaya mengurangkan berat badan.
HAZIZAH berjaya mengurangkan berat badan.
Siti Zarinah Sahib


Setiap kali wanita ini memuat naik gambar menu hariannya di Instagram pasti ia mendapat 'Like' yang tinggi. Walaupun dikatakan setiap hidangan ini adalah menu untuk berdiet, tetapi hampir semuanya kelihatan lazat dan menyelerakan.

Menurut pemilik akaun @pinggan_sihat_zizah, Hazizah Sirin Papat pada mulanya dia membuka akaun Instagram hanya untuk dijadikan diari harian mengenai pemakanan dan aktiviti lariannya.

Lama-kelamaan pengikutnya semakin meningkat dan majoriti mereka adalah golongan obes yang ingin mengurangkan berat badan.

"Saya tidak sangka Instagram yang digunakan sekadar menyimpan diari dan maklumat harian pemakanan menjadi rujukan pengguna. Sudah pasti saya gembira kepada ilmu yang dikongsikan ini berguna kepada semua," jelasnya.

Dia yang pernah disalah tafsir sebagai jurulatih atau pakar pemakanan menjelaskan apa yang dikongsi kepada pengikutnya hanyalah untuk mendidik mereka bagaimana mendapat berat badan ideal secara tidak drastik.

"Tidak sangka perkongsian saya mendapat perhatian daripada pengikut laman sosial. Ramai yang mula menukar corak pemakanan selepas melayari Instagram saya. Ini sudah tentu sesuatu yang baik dan wajar diteruskan," katanya.

Turut mempunyai masalah obesiti dengan berat 84 kilogram (kg), Hazizah mula berhasrat menurunkan berat badan selepas menyedari kegemukan banyak mendatangkan masalah terutama dari segi keyakinan dan juga kesihatan.

"Saya mula mengamalkan diet seimbang suku-suku-separuh seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Selama dua minggu saya konsisten memilih makanan berasaskan sayur-sayuran dan ia mula menampakkan hasil.

"Selepas dua minggu ada penurunan berat sebanyak tiga kilogram, barulah saya yakin untuk berkongsi dengan orang ramai," katanya.

SARAPAN ringkas dan berkhasiat.
SARAPAN ringkas dan berkhasiat.

Menceritakan menu hariannya, jelas Hazizah untuk sarapan dia gemar mengambil dua keping roti gandum penuh bersama sapuan mentega kacang dan secawan kopi kosong (tanpa gula).

CONTOH makanan sihat untuk menu tengah hari.
CONTOH makanan sihat untuk menu tengah hari.

Untuk tengah hari pula berdasarkan konsep suku-suku-separuh, nasi yang diperlukan hanya 1/2 pinggan, sejenis lauk 1/4 pinggan dan sayur sebanyak 1/2 pinggan.

HIDANGAN makan malam mengikut konsep suku suku-separuh.
HIDANGAN makan malam mengikut konsep suku suku-separuh.

Untuk menu malam Hazizah mengambil hidangan sama seperti tengah hari atau menukar kepada sandwic, pasta sayur atau salad. Pilihan snek seperti buah-buahan dan kekacang seperti badam atau kacang kuda rebus.

"Mulanya memang rasa janggal kerana jumlah nasi yang kurang. Tetapi lama-kelamaan badan sudah terbiasa untuk makan dalam jumlah sedikit," katanya.

Jelas Hazizah lagi, dalam setiap menu harian dia mengurangkan pengambilan garam, minyak, gula dan perasa tambahan. Begitu juga makanan diproses adalah tidak baik untuk kesihatan. Sebaiknya pilih jenis semula jadi terutama sayur-sayuran pelbagai warna.

"Apa yang boleh saya katakan di sini, cara memasak akan menentukan sama ada hidangan itu berunsur sihat atau sebaliknya. Namun tidak semua golongan sesuai mengamalkannya terutama penghidap sakit kronik memerlukan diet tertentu, sebaik-baiknya rujuk pakar terlebih dahulu," katanya.

Mengakui cabaran dalam menurunkan berat badan apabila berkunjung ke luar negara. Ini kerana terdapat bermacam jenis hidangan yang menuntut kekuatan untuk mengurangkan pengambilan atau mengelak daripada disentuh.

Bagi mereka yang baru saja menukar corak pemakanan kepada makanan sihat, seharusnya tidak terlalu drastik melakukannya dikhuatiri cepat bosan. Mulakan dengan mengawal saiz hidangan kemudian mengubah cara penyediaannya.

"Bagaimanapun, ia turut mengikut kemampuan masing-masing. Jangan terikut-ikut menu orang lain yang mungkin ia terlalu membebankan dan nampak mahal. Bagi memastikan untuk terus konsisten haruslah ada rasa gembira ketika menikmati makanan.

"Selain makanan, seimbangkan senaman yang mampu memberikan impak besar kepada tahap kesihatan individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 3:23 PM