JANGAN ambil mudah pengambilan makanan harian.
JANGAN ambil mudah pengambilan makanan harian.
Siti Nadirah Hafidzin

Masalah obesiti dan kegemukan yang berlaku pada wanita mahupun lelaki berkait rapat dengan corak pengambilan makanan.

Alasan penat bekerja, tidak cukup masa dan sering pulang lewat ke rumah hingga menyebabkan ramai tidak sempat menyediakan makanan sendiri ternyata tidak boleh diterima dan dibiasakan.

Bagaimanapun bukanlah tidak boleh membeli makanan di gerai atau restoran makanan segera, tetapi jika dibiasakan ia dikhuatiri mendatangkan pelbagai kesan negatif terutama kepada kesihatan diri.

Selain itu, kehadiran pelbagai jenis gerai dan restoran malah ada yang beroperasi 24 jam juga antara faktor yang membuatkan dapur di rumah seolah-olah tidak lagi berfungsi.

Membeli atau makan di luar memang memudahkan namun ramai tidak sedar keenakan rasa tidak sepatutnya dijadikan faktor utama dalam pemilihan makanan.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, kekerapan menjamu selera di luar sering menjadi punca masalah lebihan berat badan atau obesiti.

“Tidak dapat dinafikan kebanyakan wanita yang bergelar ibu dan isteri kini sentiasa sibuk melakukan kerja di luar rumah dan terbabit dalam pelbagai sektor pekerjaan.

“Disebabkan terpaksa mengejar masa, ibu kini tidak dapat menyediakan hidangan untuk keluarga dan paling mudah dengan membeli makanan di kedai makan. Senario ini ternyata membimbangkan kerana ia mengundang pelbagai risiko kepada diri sendiri juga seisi keluarga. Kita sendiri tidak tahu tahap kebersihan, kandungan gula dan garam yang digunakan ketika penyediaan makanan,” katanya.

DR Zubaidi.
DR Zubaidi.

Menurut Dr Zubaidi, antara masalah kesihatan utama yang mungkin dialami ialah tahap kolesterol tinggi dan berat badan tidak terkawal yang menjadi punca pelbagai jenis penyakit lain antaranya masalah jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Selain itu, keracunan makanan antara masalah yang paling kerap berlaku di seluruh dunia kerana penyediaan makanan tidak dilakukan dalam keadaan bersih. Jangan ambil mudah perkara ini kerana keracunan makanan juga boleh membawa maut.

“Disebabkan itu, senario mengambil jalan mudah dengan membeli makanan atau makan di gerai mahupun restoran ini perlu dielakkan dan tidak dijadikan kebiasaan demi kebaikan semua,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan wanita terlalu berfikir dan terikat dengan menu hidangan yang sukar serta mengambil masa lama untuk menyediakannya.

“Apa yang perlu dilakukan adalah membiasakan diri menikmati makanan yang berkhasiat dan seimbang. Paling utama lebih baik ia dimasak sendiri.

“Jangan sesekali terbiasa dengan aktiviti membeli makanan setiap hari kerana dibimbangi ia bakal mendatangkan bahaya tanpa disedari,” katanya.

Pecahan makanan seimbang

Dr Zubaidi berkata, pemakanan seimbang perlu mengandungi empat kumpulan utama iaitu karbohidrat, protein, lemak dan serat selain minum air secukupnya.

“Pergerakan fizikal seperti beriadah meningkatkan kesihatan seisi keluarga. Untuk ibu bapa, ada cara mudah untuk mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang iaitu dengan membahagikan pinggan kepada empat bahagian.

“Satu bahagian untuk nasi, satu bahagian untuk protein iaitu ayam, ikan atau daging dan dua bahagian untuk sayur-sayuran di samping segelas susu serta buah-buahan,” ujarnya.

SENAMAN amat penting.
SENAMAN amat penting.

Menurutnya, banyakkan mengambil sayur-sayuran yang dijadikan ulaman bagi mengekalkan khasiatnya tanpa dicemari.

“Elak daripada masakan yang berat seperti kuah pedas, berlemak dan berminyak pada waktu malam bagi memberi keseimbangan pada diet harian selain tidak memerlukan masa yang lama untuk memasaknya. Selain itu, perlu katakan tidak pada makanan segera yang pada zahirnya sememangnya lazat namun mengandungi pelbagai risiko untuk kesihatan.

“Apa yang penting, jangan ambil mudah dengan makanan yang diambil setiap hari kerana ia bakal menentukan tahap kesihatan anda pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 7:01 AM