NORSHITA turut bersenam bersama Ifti pada setiap hari.
NORSHITA turut bersenam bersama Ifti pada setiap hari.
Siti Zarinah Sahib

Ketika dilahirkan, Ifti Nursyarafana Junaidi memiliki berat badan normal iaitu 2.7 kilogram (kg). Disebabkan berat badan tidak menunjukkan kenaikan mengikut graf sepatutnya, jururawat memberikan makanan tambahan kepada Ifti dengan harapan berat badannya mencapai tahap normal seperti kanak-kanak seusianya.

“Ketika itu usia Ifti sudah mencecah dua tahun. Selepas diberikan vitamin anak saya semakin berselera sehingga beratnya naik mendadak iaitu 24kg pada usia lima tahun dan 34kg pada usia enam tahun. Apabila saya menyuarakan kebimbangan, doktor memberitahu ia akan turun menjelang usia tujuh tahun disebabkan pada usia ini kanak-kanak menjadi lebih aktif di sekolah,” demikian menurut ibu Ifti, Norshita Arashad.

Ketika usia Ifti mencecah tujuh tahun Norshita mendapati selera makan anaknya semakin membuak-buak. Dia boleh makan apa saja termasuk semua jenis hidangan seperti nasi, ayam goreng dan makanan segera. Malah mulutnya tidak akan berhenti mengunyah selagi ada makanan di hadapan mata.

“Saya pula gembira melihat keadaan Ifti yang gemar makan. Sekurang-kurangnya saya tahu dia sihat. Bagi mengelak pembaziran, kebanyakan makanan berlebihan akan diberikan kepada Ifti untuk dihabiskan. Dia tidak pernah menolak dan makan apa saja yang diberi kepadanya,” katanya.

Ketika ujian kesihatan di sekolah, pegawai kesihatan memberikan surat rujukan kepada Norshita untuk bertemu pakar pemakanan disebabkan berat badan anaknya berlebihan sehingga mencecah 42.5kg!

Ujar Norshita, pada pandangan matanya comel dan berisi itu sihat. Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya apabila Ifti disahkan obes dan mempunyai masalah tonsil yang perlu dibuang segera.

“Namun tonsil dialami Ifti berbeza kerana tidak menyebabkan dia demam atau mengalami penurunan berat badan. Doktor berkata, tonsil Ifti berada pada tahap tiga dan perlu dibuang dengan syarat Ifti perlu menurunkan berat badan terlebih dulu bagi mengelak sebarang komplikasi ke atas pembedahannya,” katanya yang berasal dari Parit Buntar, Perak.

Selepas pemeriksaan itu, bermulalah sesi fisioterapi yang dilakukan dua minggu sekali oleh pakar fisioterapi. Ifti diajar cara senaman mudah bagi membakar lemak. Bukan saja Ifti, malah Norshita turut melakukan senaman sama supaya boleh mengajar anaknya di rumah.

“Setiap pagi sebaik bangun tidur saya mengajar Ifti teknik pernafasan yang betul kemudian pergerakan mudah sebelum ke sekolah. Memang sukar juga untuk mengajar dia konsisten. Biasalah budak-budak ada masa dia mahu mengikut, kadang-kadang dia memberontak,” luah Norshita.

MELAKUKAN fisioterapi setiap dua minggu.
MELAKUKAN fisioterapi setiap dua minggu.

Jaga pemakanan

Pada Mac 2018, Ifti dirujuk kepada pakar diet dan diminta untuk menjaga pemakanan. Sebagai ibu bebanan ini memang terletak di bahu Norshita kerana dia yang selama ini menguruskan makan minum anak.

“Saya diajar menyediakan makanan sihat iaitu mengikut sukatan suku-suku separuh dengan teknik merebus, kukus dan panggang. Bayangkan pada usia tujuh tahun selera makan Ifti disekat. Semua makanan kegemarannya hanya boleh diambil dalam masa tertentu, mungkin sekali atau dua minggu sekali. Sudah tentu ia sukar diterima.

“Pada mulanya memang Ifti memberontak dan tidak mahu makan. Setiap kali waktu makan dia akan menangis. Tetapi saya cuba memujuk dengan memberi kata-kata semangat. Lama-kelamaan barulah dia menerimanya,” katanya.

Pada waktu pagi Norshita menyediakan roti bakar atau prata sebagai bekalan ke sekolah. Kemudian pada jam 12 tengah hari dia menghantar hidangan tengah hari untuk Ifti di sekolah. Antara menu disediakan seperti segenggam nasi beras perang, ayam panggang, sup ayam, ikan bakar sedikit sayur dan buah-buahan.

MENU hidangan tengah hari yang disediakan Norshita.
MENU hidangan tengah hari yang disediakan Norshita.

“Saya memperbanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Minuman pula hanya air kosong yang wajib dihabiskan dua liter sehari. Pengambilan air kosong sangat penting untuk mempercepatkan penurunan berat badan. Hasilnya dalam masa 15 hari Ifti berjaya menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram,” katanya gembira.

Menurut Norshita, sepanjang mengawal berat badan Ifti, dia banyak belajar mengenai pemakanan dan juga senaman. Bagi menurunkan berat badan anaknya, kombinasi pemakanan dan senaman sangat penting kerana tanpa salah satu sudah pasti misi utama sukar dicapai. Sebab itu dia sering melakukan senaman ringan di rumah bersama Ifti selama 30 minit setiap hari.

Memandangkan anaknya bukan penggemar sayur-sayuran, jadi Norshita menyediakan pelbagai jenis buah-buahan ketika waktu makan dan juga senggang. Buah yang keras seperti jambu batu dan epal biasanya dijadikan kudapan harian manakala buah lembut seperti pisang, betik, oren dan tembikai disediakan ketika waktu makan.

“Bagi mengelak dia cepat lapar buah-buahan seperti jambu batu dan epal membantu untuk Ifti cepat kenyang. Ini kerana buah sebegini memerlukan masa kunyahan lebih lama berbanding buah lembut. Jadi proses mengunyah akan membuatkan dia cepat penat dan tidak makan terlalu banyak,” katanya.

Sebagai ibu Norshita mengakui kesabaran tinggi sangat diperlukan bagi memastikan Ifti mengikuti jadual makan dan bersenam secara konsisten. Kerjasama daripada ahli keluarga turut membantu menjayakan misi ini iaitu bukan saja mendapatkan berat badan ideal tetapi memastikan Ifti sihat dan tidak mendapat sebarang penyakit di kemudian hari. Kini berat Ifti sudah mencecah 38kg dan doktor mencadangkan agar dia mencapai berat ideal iaitu 35kg.

PERBEZAAN berat badan Ifti sebelum dan selepas melakukan perubahan dalam pemakanan dan senaman.
PERBEZAAN berat badan Ifti sebelum dan selepas melakukan perubahan dalam pemakanan dan senaman.

Tip untuk ibu bapa

• Ibu bapa sebagai model

Ibu bapa perlu menjadi model untuk anak. Tetapkan standard untuk gaya hidup sihat dengan merancang menu harian dan senaman yang perlu dilakukan. Pastikan ia mendapat kerjasama semua ahli keluarga.

• Kurangkan pengambilan lemak

Elak diet yang ketat, kerana ia boleh menyebabkan masalah gangguan makan dan mengakibatkan obesiti pada masa akan datang. Sebaliknya, cuba kurangkan pengambilan lemak dan minyak dalam masakan serta menyediakan snek sihat untuk mengurangkan pengambilan kalori tanpa membuatkannya berasa lapar.

• Gunakan prinsip pemakanan seimbang sebagai panduan

Sediakan makanan mengikut prinsip suku-suku separuh iaitu berasaskan komposisi 40 peratus karbohidrat, 30 peratus protein dan 30 peratus lemak sihat, ditambah dengan 25 gram serat dan lapan gelas air sehari. Untuk menggalakkan anak anda menerima semua hidangan ini pastikan anda kreatif dalam menyediakan hidangan.

• Pastikan anak anda bersarapan setiap pagi

Sarapan yang sihat dan berkhasiat akan memberi anak anda tenaga dan nutrien yang diperlukan bagi melancarkan aktiviti yang perlu dilakukan. Ia juga membantu menghalang anak anda lapar terlalu awal pada waktu siang dan beralih kepada makanan ringan sebelum makan tengah hari.

• Bersenam bersama keluarga

Kerja sekolah dan aktiviti kokurikulum yang padat membuatkan kanak-kanak tiada waktu bersenam sedangkan aktiviti fizikal yang mencukupi adalah kunci utama untuk kanak-kanak mengekalkan gaya hidup sihat.

Kanak-kanak harus menyasarkan sekurang-kurangnya 60 minit untuk aktiviti fizikal. Cara terbaik dengan melakukannya bersama-sama ahli keluarga yang lain. Anda boleh berjalan-jalan di taman atau mengatur aktiviti keluarga pada hujung minggu seperti berbasikal, mendaki bukit dan bermain bola.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 1:25 PM