IBU bapa perlu bijak dalam menangani situasi anak mula melawan.
IBU bapa perlu bijak dalam menangani situasi anak mula melawan.
Siti Nadirah Hafidzin

Mula marah, menjerit mengatakan tidak, bersuara dengan kuat dan tidak mahu mengikut suruhan. Itu antara tindakan si kecil tersayang apabila menginjak ke usia dua tahun.

Mereka tidak lagi menuruti segala arahan malah mula berkelakuan pelik terutama sekiranya apa yang dimahukan tidak dituruti.

Hakikatnya apabila anak berusia dua tahun, mereka mula berubah sikap. Antara perubahan ketara ketika itu, adalah mula berani mengatakan ‘tak nak,’ ‘tidak,’ ‘bukan’ atau ‘tak boleh.’

Sebelum ini mereka hanya menurut saja kata ibu bapa atau penjaganya tetapi kini segalanya semakin berubah.

Menurut Kaunselor Kekeluargaan dan Keibubapaan Nur Firdaus Abdul Razak, secara fitrahnya, anak pada usia dua tahun tidak diistilahkan sebagai membantah atau melawan.

“Apa yang berlaku, mereka mula mahu menyuarakan apa yang mereka rasa dan inginkan. Usia dua tahun ialah permulaan kepada tahap baru apabila daya fikiran mereka tidak lagi bergantung kepada deria semata-mata untuk memahami sesuatu.

“Sebaliknya anak mula berfikir secara aktif yang menyebabkan mereka mula berani mengatakan ‘tidak,’ ‘tak nak’ atau ‘tak boleh,” katanya.

Oleh itu, dapat dilihat tiga aspek perkembangan untuk memahaminya secara lebih jelas membabitkan bahasa, kognitif dan sosioemosi.

Sosio emosi

Nur Firdaus berkata, kanak-kanak akan mencapai tahap autonomi bermula usia 18 bulan sehingga sekitar tiga tahun. Dalam tahap ini, mereka sibuk membentuk kawalan diri iaitu satu proses kepada pembinaan autonomi.

“Autonomi menjadikan mereka puas apabila mencapai sesuatu yang baru dan kemudian mencapai perkara lain yang baru dan begitulah seterusnya.

“Kesannya, mereka hendak lakukan segala-galanya sendiri seperti makan dan minum, memakai kasut dan memegang sudu.

“Apabila ibu bapa mahu membantu, mereka berkeras dan tetap ingin melakukannya sendiri. Ia fitrah tetapi sebahagian ibu bapa menyangka anak mereka mula keras hati atau membantah,” katanya.

Menurut Nur Firdaus, hakikatnya, kanak-kanak berasa bangga apabila dapat melakukannya sendiri dan mereka mengharapkan semangat, dorongan dan pujian ibu bapa.

Kognitif

Kanak-kanak kecil sudah berkembang ke tahap praoperasi tahap pembangunan kognitif iaitu mereka mula berfikir secara simbolik.

Nur Firdaus berkata, kanak-kanak itu berasa seronok berinteraksi dengan simbol seperti kotak menjadi kereta, bekas menjadi lori dan meja menjadi lebuh raya.

Pemikiran mereka bercorak imaginasi bermula pada usia dua tahun dan kemudiannya menjadi lebih berimaginasi dari semasa ke semasa (bergantung kepada rangsangan).

“Apabila memasuki usia tiga tahun, daya imaginasi mereka bertambah kompleks dan ketika ini banyak bermain secara ‘permainan olok-olok’ iaitu corak perlakuan bayi atau kanak-kanak melakonkan semula set tindakan dewasa yang dilihat mereka,” ujarnya.

Menurutnya, ketika itulah berlaku banyak konflik antara kanak-kanak kecil dengan ibu bapa kerana mereka akan banyak menghabiskan masa dengan ‘permainan olok-olok’ ini berdasarkan apa yang diminati.

“Hakikatnya anak seronok apabila dapat menterjemahkan imaginasi mereka ke dalam bentuk nyata kerana sebelum ini ia hanya dibayangkan dalam minda saja.

“Ia sebenarnya satu bentuk pengukuhan skema sedia ada kerana kanak-kanak akan sentiasa terus mencuba dan mencuba tanpa mempedulikan kebimbangan ibu bapa dan keadaan ini menyebabkan mereka dilihat seperti melawan atau membantah,” katanya.

Bahasa

Kanak-kanak menguasai bahasa pada tahap yang lebih tinggi ketika ini. Mereka sudah mula membentuk ayat, malah perbendaharaan kata juga sudah semakin luas.

Nur Firdaus berkata, mereka sangat teruja untuk bercakap. Seiring dengan pembinaan autonomi, kanak-kanak mula yakin diri untuk mengatakan apa yang ingin mereka rasakan.

“Mereka mula yakin untuk mengatakan ‘tak’ dan ‘tak nak.’ Mereka bukan melawan, tetapi bercakap mengikut apa yang mereka fikirkan.

“Namun, kita perlu berhati-hati. Sebahagian ibu bapa seronok apabila anak mereka bercakap sesuatu yang tidak sesuai, contohnya, ‘Letaklah, kan adik cakap’, ‘Lambatlah orang ni!’

“Memang comel apabila budak kecil marah, tetapi ia perlu diperbetulkan. Mereka tidak tahu apa-apa dan tolak ke tepi soal comel, bantulah dan ajarlah mereka mengikut apa yang sewajarnya,” katanya.

Bagaimana berdepan dengan situasi ini?

Ibu bapa perlu bijak mengendalikan situasi ini apabila kanak-kanak kecil mulai berperwatakan seperti orang dewasa. Kita perlu bijak mengendalikan situasi ‘membantah’ dan ‘melawan’ ini.

Antara yang boleh dilakukan sebagai persediaan atau pencegahan adalah:

1. Bina kemesraan sejak awal usia mereka. Sejak mereka lahir, jangan berhenti menyayangi dan bermesra dengan mereka. Orang yang paling rapat selalunya dapat melenturkan hati mereka yang sedang marah.

2. Selalu bercakap berkenaan apa yang boleh dan tidak boleh. Contohnya, “Amin, bestkan main lori-lori ni, tapi masa azan nanti kita sama-sama diam dan sama-sama simpan tau.”

3. Sediakan apa yang mampu kita sediakan untuk keperluan mereka. Contohnya, “Akak, meja ini meja umi tau, meja kecil yang umi beli semalam tu meja kakak.” Bukan semua kita perlu sediakan, hanya sediakan yang penting saja.

4. Tunjukkan kita menghargai apabila mereka melakukan sesuatu yang betul. Apabila anak kita tidak bermain dengan kerusi kita pada hari itu (kebiasaannya mereka bermain), ucaplah terima kasih dan pujilah mereka kerana melakukan sesuatu yang betul. Mereka selalu diberitahu berkenaan apa yang salah, namun jarang diberitahu perkara yang betul.

Cara terbaik yang boleh dilakukan

1. Ambil nafas panjang, bersabar dan fahami ia adalah sifat seorang kanak-kanak kecil. Berdoa supaya dilembutkan hati mereka.

2. Jadikan ia sesuatu yang kelakar.

3. Biarkan saja mereka. Dalam keadaan tertentu, kaedah terbaik adalah tidak mempedulikan mereka. Membantah salah satu proses memanipulasi.

4. Bertanya kenapa mereka tidak mahu begitu. Ia juga bergantung kepada keadaan. Dalam keadaan tertentu, kita perlu bertanya kepada mereka. Ada kes ‘melawan’ yang berlaku disebabkan mereka tiada perkataan untuk menerangkan apa yang dikehendaki, jadi kita perlu membantu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 12:57 PM