LEBIH baik anak diam dengan aktiviti menconteng atau melekat daripada menghadap gajet
LEBIH baik anak diam dengan aktiviti menconteng atau melekat daripada menghadap gajet
Siti Nadirah Hafidzin


“SUNYI saja rumah, mana si Hana ni? Mesti ada sesuatu yang dia tengah buat. Aduh, kenapa setiap dinding rumah berconteng dan bertampal? Kotornya, susahnya nak bersihkan semua ini semula, malulah jika ada tetamu datang rumah.”

Itu antara rungutan ramai ibu bapa atau penjaga yang berdepan dengan 1,001 karenah anak yang suka menconteng dan menampal pelbagai jenis pelekat bukan pada tempat yang sepatutnya.

Mungkin ramai yang beranggapan tidak mengapa kerana itulah caranya kita memberikan anak ruang dan peluang untuk melahirkan kreativiti namun kebanyakan ibu bapa atau penjaga tetap rasa tertekan apabila berdepan dengan situasi itu.

Persoalannya, mengapa anak kecil suka menconteng? Mengapa pula mereka suka menampal pelbagai jenis pelekat? Apakah yang mendorong mereka berkelakuan begitu?

Mengupas mengenai tingkah laku bayi dan kanak-kanak ini, kaunselor keluarga, Nur Firdaus Abd Razak berkata, bayi dan kanak-kanak hanya akan berinteraksi dengan objek yang dapat dicapai.

“Dua tabiat berkenaan berlaku disebabkan ibu bapa atau penjaga itu sendiri. Memang ia berkait dengan sifat ingin tahu anak tetapi perlakuan itu lebih kepada adanya rangsangan seperti pen, pensel, warna, pelekat atau gam yang boleh dicapai dengan mudah.

“Oleh itu jangan menyalahkan anak anda sahaja apabila berkelakuan sedemikian kerana perkara ini tidak dapat dilakukan sekiranya tidak menerima rangsangan yang mudah,” katanya.

CARA LUAH EMOSI

Menurut Nur Firdaus, dalam psikologi pendidikan dan perkembangan kanak-kanak, menconteng dan menampal adalah sesuatu yang baik untuk anak.

“Ini antara perkembangan mereka, cuma ibu bapa perlu membezakan tabiat yang baik dan tidak baik.

“Pada sekitar usia 12 bulan, bayi sudah boleh memegang dan menggenggam objek tertentu dengan kuat. Kebanyakan ibu bapa memilih untuk mendedahkan bayi kepada aktiviti menulis, melekat atau mewarna,” ujarnya.

Katanya, dalam keadaan pergerakan yang masih agak terbatas, mudah untuk ibu bapa melatih dan mengawal anak supaya melukis, mewarna serta menampal dalam ruang khas yang disediakan namun ia berubah mengikut perkembangan usia si manja.

“Tanpa sedar, menconteng dan menampal ialah satu bentuk luahan rasa serta emosi kanak-kanak. Mungkin ramai mengeluh apabila berdepan situasi anak yang suka menconteng dan menampal apa saja jenis pelekat merata-rata di dalam rumah.

“Jika kita belajar mengenai ekspresi seni kreatif, kita akan memahami mereka dengan sangat baik malah seni dianggap sebagai satu bahasa yang tidak memerlukan huruf dan perkataan. Cuba lihat setiap lukisan, contengan atau pelekat yang ditampal anak anda. Jika kita mampu membacanya, kita akan dapat memahami apa yang anak cuba luahkan,” katanya.

Menurutnya, melakar mempunyai banyak kelebihan terhadap perkembangan awal kanak-kanak.

“Namun ada satu kelebihannya yang kurang diberi perhatian oleh kebanyakan ibu bapa ialah aktiviti itu menenangkan.

“Sedar atau tidak, tabiat ini membuatkan anak anda diam, tenang dan menghabiskan banyak masa dengan fokus kepada apa yang sedang dilakukan,” katanya.

Nur Firdaus berkata, sangat menyedihkan apabila ramai ibu bapa berasa tertekan sekiranya anak kecil mula melakukan tabiat itu.

“Beri mereka bimbingan, ajar tempat yang sesuai untuk menconteng atau menampal. Jelaskan kepada mereka mengapa tidak boleh lakukannya sesuka hati terutama di dinding ruang tamu.

“Seelok-eloknya ibu bapa atau penjaga luangkan lebih banyak masa berada di sisi anak apabila mereka mula memegang pen, warna atau pelekat. Ajak mereka lakukan apa yang diinginkan itu di tempat sesuai. Lama-kelamaan anak anda akan terbiasa dengan disiplin yang diajar,” katanya.

Menurutnya, boleh juga belikan pelekat comel yang mempunyai gambar kartun, buah-buahan dan binatang untuk lebih beri pendedahan kepada anak.

“Kanak-kanak kecil sangat sukakan pelekat, mereka juga suka melekat. Disebabkan itu, ramai anak kecil yang pantang nampak pelekat dan mula menampal sesuka hati.

“Beri sokongan dan bimbingan kepada anak anda, jangan tertekan dan memberikan gajet dengan harapan mereka diam atau leka,” katanya.

Menurutnya, lebih baik anak diam dengan aktiviti yang berfaedah seperti menulis, menconteng atau melekat sekali gus dapat merangsang perkembangan si kecil.

Berikut langkah boleh dilakukan ibu bapa atau penjaga:

1. Sediakan kelengkapan yang sesuai

Bayi dan kanak-kanak belum boleh memegang alat tulis dengan betul. Oleh itu, penggunaan pen, pensel, juga pen berwarna tidak sesuai. Pilihan terbaik ialah krayon. Belikan juga pelekat comel untuk merangsang mereka.

2. Sediakan ruang khas secara konsisten

Mulakan dengan sebuah buku kertas lukisan dan buku khas menampal. Ia perlu konsisten untuk membiasakan anak.

3. Perlu sentiasa berada di sisi mereka

Kanak-kanak kecil sangat kreatif dan akan sentiasa mencuba perkara baharu. Jika tidak dipantau, mereka akan memanjangkan lakaran dan tampalan ke lantai, meja dan dinding.

4. Bebaskan mereka dengan corak pilihan masing-masing

Aktiviti ini satu cara untuk menzahirkan perasaan. Biarkan mereka memilih corak ketika usia ini. Pastikan ia sentiasa selari dengan fitrah yang betul dan jangan memaksa.

5. Galakkan tabiat ini

Tidak salah sebenarnya kanak-kanak yang suka menconteng dan menampal ini. Daripada mereka membesar dengan menghadap gajet, adalah lebih baik sekiranya anak sukakan sesuatu yang merangsang minda. Sentiasa berada di sisi anak untuk mengajar mereka apa yang boleh dan apa yang tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:20 AM