KANAK-kanak suka berimaginasi.
KANAK-kanak suka berimaginasi.
Siti Nadirah Hafidzin

MUNGKIN sesetengah ibu bapa berasa hairan namun ada juga yang sudah terbiasa apabila mendengar si kecil bercakap seorang diri atau dengan barang permainannya seperti anak patung atau robot.

Anak kecil anda sebenarnya sedang berimaginasi iaitu fasa penting yang berkait rapat tempoh pembesaran kanak-kanak. Mungkin anda tidak sedar kanak-kanak kecil banyak belajar menerusi imaginasi.

Imaginasi kanak-kanak kadang-kadang melangkaui jangkaan dan antara individu yang paling memberi kesan terhadap imaginasi si kecil adalah mereka yang rapat dengannya iaitu ibu bapa atau pengasuh.

Menurut kaunselor psikologi kanak-kanak, Hasiah Ismail, kanak-kanak menggunakan imaginasi sebagai alat pemikiran mereka.

“Mereka menggunakan imaginasi untuk mencari penjelasan kepada beberapa perkara yang sukar difahami dalam kehidupan sebenar seperti masalah keluarga, isu ketuhanan, perebutan kasih sayang mahupun perkara yang ditontoninya di dalam televisyen atau telefon pintar.

“Kanak-kanak juga gemar berimaginasi bagi mengatasi kesakitan dan kesedihan yang mereka alami dan disebabkan itu tidak hairanlah sekiranya kita dengar ada anak yang seolah-olah bercakap dalam pelbagai nada, kadang gembira, ada masa sedih dengan anak patungnya,” katanya.

Hasiah berkata, ibu bapa atau penjaga tidak perlu menghalang si kecil atau meminta berhenti berimaginasi.

“Biarkan anak membayangkan apa yang dia fikir, jangan sergah atau marah kerana apa mereka lakukan itu sesuatu yang normal malah ia turut membantu pemikiran anak berkembang.

“Kanak-kanak mula berimaginasi pada usia tiga tahun dan biasanya berlanjutan hingga umur enam tahun. Itu adalah tempoh kanak-kanak suka bercakap sendiri atau dengan barang permainannya,” katanya.

Katanya, atas faktor itu disarankan menghantar anak ke tadika atau kelas bersesuaian bagi membolehkan mereka bergaul dan merasai dunia sebenar bersama guru dan rakan.

“Namun, ada beberapa aktiviti yang boleh dilakukan ibu bapa sendiri untuk membantu merangsang minda anak terutama yang berumur antara tiga hingga lima tahun.

“Semua ibu bapa mengharapkan anak yang cerdik dan kreatif. Kalau mahukan anak yang begini, ibu bapa tidak boleh malas. Perlu belajar cara merangsang daya fikir anak. Jangan asyik menghadap telefon pintar, melayan media sosial atau memikirkan kerja sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak kerana anda adalah individu paling utama dalam kehidupan mereka,” katanya.

AKTIVITI RANGSANG MINDA

Hasiah turut berkongsi lapan aktiviti yang mampu merangsang minda si kecil melalui aktiviti berimaginasi atau kreatif yang berfaedah:

1. Mesti ada masa berdua dengan anak

Walaupun ramai ibu bapa mahukan anak yang mampu berdikari, mereka tetap perlukan kehadiran anda dalam pelbagai aktiviti yang dilakukan. Masa berdua sangat penting kerana inilah saatnya anda boleh mengajarnya pelbagai kemahiran asas terutama membabitkan soal agama, budi pekerti dan mengenal peribadinya.

Inilah juga masa untuk anda memberikan teguran kepada mana-mana kesalahannya dan memberitahu apa yang sepatutnya dia lakukan tanpa si kecil berasa malu berbanding jika ditegur di depan adik-beradik lain.

Malah, pada ketika inilah juga anda boleh bertanyakan perkara yang disukai atau sebaliknya. Biasakan masa berdua ini sambil melakukan aktiviti kegemarannya, anak akan lebih mudah untuk berbicara dan meluahkan rasa hatinya.

2. Membaca buku bersama-sama

Membaca buku bukan saja baik untuk merangsang minda anak, malah ia menjadi saat berkualiti untuk benar-benar bersama dengan si kecil. Kajian menunjukkan membaca buku kala anak dalam fasa prasekolah atau tadika dapat memperbaiki kemahiran si kecil mengenal huruf.

Perbualan santai antara ibu bapa dan anak membabitkan perkara yang dibacakan dapat membantu meningkatkan pemahaman dan penguasaan bahasa si kecil dengan lebih baik.

3. Bermain olok-olok

Ini permainan yang amat digemari kanak-kanak di seluruh dunia. Kanak-kanak prasekolah berumur tiga hingga enam tahun mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Ketika inilah mereka mula bermain dan berpura-pura menjadi guru, ibu, doktor, puteri atau watak adiwira.

Selain menyeronokkan, permainan imaginasi atau olok-olok ini memberi peluang kepada si kecil mengenali peranan satu-satu watak yang dipilihnya.

Anda boleh merangsang perkembangan minda anak dengan memasukkan satu masalah atau insiden supaya dia berfikir cara untuk menangani perkara berkenaan.

Idea yang dilahirkan mungkin boleh membuatkan anda ketawa tetapi ia sebenarnya bersesuaian dengan pengetahuannya.

Bermain olok-olok juga boleh membantu memperbaiki kemahiran bahasa juga kemahiran bersosial jika mereka bermain dengan adik-beradik lain.

4. Mempunyai kehidupan sosial

Kanak-kanak era kini amat akrab dengan teknologi. Tarikan teknologi ini memang hebat sehingga boleh membuatkan kanak-kanak terpaku dan tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Malah, ia juga boleh membuatkan kanak-kanak hilang banyak kemahiran termasuk penguasaan bahasa, bersosial, berkongsi dan bertolak ansur bahkan mereka tidak pandai menikmati keseronokan bermain di luar rumah.

Galakkan anak bermain di luar bersama kawan kerana ia akan membantu meningkatkan kemahirannya bersosial. Ketika bermain inilah dia belajar untuk berkawan, berkongsi, bertolak ansur, mengawal diri dan berunding yang semua kemahiran itu sangat penting supaya dia boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik pada masa akan datang.

5. Bermain permainan yang mempunyai peraturan dan menguji minda

Ia akan mengajar kanak-kanak bersabar, menunggu giliran dan mematuhi peraturan. Selain itu kanak-kanak juga akan belajar untuk menerima kekalahan. Mengingati peraturan dikatakan menjadi senaman untuk menguatkan daya ingatan.

Permainan fizikal yang juga membantu koordinasi otak dan pergerakan anggota badan. Mulakan dengan permainan yang mempunyai tiga atau empat peraturan mudah. Pilih permainan yang pendek dan boleh diselesaikan dengan cepat.

Permainan menguji minda contohnya teka-teki, silang kata dan menyusun gambar atau warna merangsang minda anak untuk membayangkan jalan penyelesaiannya. Ia juga akan merangsang pergerakan otot jari mereka yang kecil.

6. Belajar bahasa lain

Kajian menunjukkan kanak-kanak lebih cepat menguasai bahasa berbanding dewasa. Belajar bahasa kedua atau ketiga ketika kecil juga memberi rangsangan berganda kepada bahagian otak yang berperanan untuk menyimpan, menyusun dan mengucapkan kata-kata. Bahasa kedua juga membantu perkembangan kemahiran lisan, memperbaiki penguasaan perkataan dan membaca.

7. Menonton televisyen bersama-sama

Memang diakui kanak-kanak dan televisyen tidak dapat dipisahkan, apatah lagi kini kita mempunyai televisyen pintar untuk menonton klip video di Internet. Namun, pilihlah rancangan bercorak pendidikan yang bersesuaian dengan minatnya.

Anda boleh menguji kefahaman anak dengan meminta dia bercerita mengenai apa yang ditontonnya termasuk rancangan kartun. Kehadiran anda membolehkan dia bertanya jika ada perkara yang tidak difahaminya.

Bagaimanapun hadkan masa menonton televisyen kepada satu atau dua jam saja setiap hari. Lebih baik jika tempoh ini turut merangkumi masa untuknya bermain permainan komputer.

8. Memasuki kelas kanak-kanak

Ini termasuk kelas mempertahankan diri, muzik, lukisan, tarian atau sebarang aktiviti yang diminati anak anda. Ia boleh membantu mereka untuk belajar berinteraksi, bersosial, mendengar dan mematuhi arahan serta memperbaiki keseimbangan badan. Tidak kurang pentingnya, ia juga boleh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:00 AM