ANTARA produk pastri dan kek lazat dihasilkan Raja Mariah Jameelah.
ANTARA produk pastri dan kek lazat dihasilkan Raja Mariah Jameelah.
Siti Nadirah Hafidzin

Gadis ini akui langkahnya menjejakkan kaki menceburi bidang kulinari bukanlah pilihan sendiri namun atas nasihat ibunda tercinta.

Tidak mahu menghampakan ibu dan keluarga, dia kemudian mengambil keputusan belajar bersungguh-sungguh dan menghabiskan pengajiannya dalam bidang kulinari sebelum bekerja di sebuah kedai kek di Shah Alam, Selangor selama hampir setahun.

Ternyata berkat menuruti saranan ibu tersayang membuahkan hasil tidak dijangka apabila berjaya membuka kedai kek dan pastri sendiri, Pastryfeel di Klang, Selangor pada usia yang masih muda.

Raja Mariah Jameelah Raja Badrishah, 23, berkata, semuanya seperti tidak dijangka kerana pada usianya kini, dia tidak pernah membayangkan mampu memiliki kedai kek dan pastri.

Menurutnya, walaupun bukan pilihannya, namun tidak dinafikan dia sememangnya minat dalam bidang itu.

“Perniagaan ini bermula secara dalam talian, selepas berhenti bekerja saya buat perniagaan bakeri di rumah dan pada masa sama menjaga ayah yang kurang sihat.

“Syukur, sambutan diterima amat menggalakkan dan disebabkan itu saya dan keluarga memberanikan diri membuka sebuah kedai kek dan pastri sendiri,” katanya.

Menurut Raja Mariah Jameelah, walaupun dianggap masih baru, dia sesekali tidak mahu berfikiran negatif.

“Takut juga sebenarnya. Bidang ini banyak persaingan terutama daripada peniaga lama namun saya beranikan diri dan cuba menghasilkan produk berkualiti dan lazat pada harga berpatutan.

“Bagi saya aspek kualiti dan keenakan rasa menjadi keutamaan kepada pembeli dan disebabkan itu, saya sentiasa cuba menghasilkan produk yang mempunyai keenakan rasa luar biasa,” ujarnya.

TIDAK mahu berputus asa dalam mengendalikan perniagaan.
TIDAK mahu berputus asa dalam mengendalikan perniagaan.

Raja Mariah Jameelah yang juga anak keempat daripada lima beradik berkata, antara produk dihasilkan yang mendapat sambutan menggalakkan adalah donat berinti krim coklat Nutella, kastard kaya, kastard, kastad beri biru dan beri biru.

“Dalam soal resipi, saya cuba hasilkan sesuatu yang sedap dan tidak terlalu manis. Selain donat, saya juga menghasilkan pelbagai jenis kek premium pada harga yang berpatutan,” katanya.

Pastryfeel sumber kekuatan

Menurut Raja Mariah Jameelah, pembukaan kedai kek dan pastri itu membuatkan dia perlu lebih kuat dalam mengendalikan perniagaan.

“Kuat itu bukan saja dari segi emosi namun perlu bijak dalam menyusun masa selain mengendalikan kakitangan. Buat masa ini, saya mempunyai dua kakitangan yang membantu di kedai, abang sulung mengendalikan pemasaran juga ibu yang menguruskan bahagian kewangan,” katanya.

Menurutnya, dia juga akui usianya yang masih muda kadangkala membuatkan dia terleka terutama apabila penat dalam menyiapkan tempahan.

“Sebelum ini saya sering merungut terutama apabila berasa penat namun kini apabila sudah memiliki kedai sendiri, tidak lagi boleh bersikap begitu.

“Saya perlu matang bagi memastikan perniagaan ini berkembang maju dan paling penting bertahan lama. Saya tidak mahu mengecewakan keluarga kerana mereka banyak membantu terutama dalam segi kewangan ketika ingin membuka kedai ini,” ujarnya.

RAJA Mariah Jameelah bersama kakitangannya menyiapkan tempahan pelanggan.
RAJA Mariah Jameelah bersama kakitangannya menyiapkan tempahan pelanggan.

Raja Mariah Jameelah berkata, soal lokasi kedai juga memerlukan dia terus kuat dalam mengenalkan jenama dan produknya.

“Kedai ini berada agak ke dalam dan di kawasan kampung namun saya yakin sekiranya produk dihasilkan berkualiti pelanggan tetap mencari produk saya.

“Buat masa ini, saya amat bersyukur kerana ada pelanggan yang sanggup datang dari Shah Alam ke Klang semata-mata untuk membeli pelbagai jenis produk saya.

“Selain di kedai, saya juga masih menjalankan perkhidmatan dalam talian dan perkhidmatan penghantaran dilakukan ke sekitar Shah Alam dan Klang,” katanya.

Mimpi anak muda

Ternyata anak muda ini seorang yang berjiwa besar kerana di sebalik kelembutan personalitinya tersimpan semangat yang layak dikagumi.

“Dari hari ke hari, saya sentiasa berusaha memperbaiki kualiti produk bakeri saya. Saya tidak boleh berpuas hati kerana perjalanan saya masih jauh.

“Saya juga bersyukur kerana dalam masa sama dapat membantu penduduk sekitar menikmati kek premium dan produk pastri tanpa perlu pergi ke kafe atau kedai yang jauh,” ujarnya.

ANTARA produk dihasilkan Raja Mariah Jameelah.
ANTARA produk dihasilkan Raja Mariah Jameelah.

Raja Mariah Jameelah berkata, walaupun terdapat persaingan yang banyak daripada kedai kek di kawasan sekitar namun dia yakin produknya berbeza daripada yang sedia ada.

“Saya cuba hasilkan produk yang lain seperti donat berinti dan syukur sambutannya amat menggalakkan. Setiap hari saya akan menyediakan donat baru untuk pelanggan.

“Ada pelanggan yang mempersoalkan soal harga kerana dikatakan agak mahal namun keenakan rasa produk yang saya hasilkan setanding dengan harga dibayar,” katanya.

Katanya, donat berinti dijual pada harga RM3 seketul manakala kek pada harga RM140 untuk saiz sembilan inci.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 3:04 PM