SESEKALI memantau tugas pembuat roti.
SESEKALI memantau tugas pembuat roti.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


RANCAK betul perbualan dengan dengan dua pembuat roti muda ini minggu lalu. Masing-masing semakin cekap di dapur dan kian pakar menghasilkan pelbagai jenis roti, kek serta pastri.

Cemburu rasanya apabila diberitahu Muhammad Noor Fitri Mansor dan Siti Nur Ezeairin Mohd Ezazi, adalah antara puluhan pelatih program Aeon Bakery School yang berjaya menamatkan latihan musim lalu.

Mereka kini diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai pakar pembuat roti di kedai bakeri La Boheme dalam pasar raya Aeon Co (M) Bhd, sekitar ibu negara.

Bercerita pengalaman menariknya mengukir kerjaya sebagai pembuat roti, Siti Nur Ezeairin, 19, berkata, dia menyertai Aeon Bakery School selepas dipujuk ibu yang kemudian menghantar permohonan kemasukan ke akademi terbabit.

“Saya memang meminati dunia bakeri. Malah ramai saudara terdekat yang menjalankan bisnes membuat kek dari rumah.

POH bangga dengan variasi roti, kek dan aneka pastry di La Boheme.
POH bangga dengan variasi roti, kek dan aneka pastry di La Boheme.

“Cuma, apabila ibu suruh mohon masuk ke akademi ini, saya jadi berbelah bagi. Kalau boleh, saya tidak mahu membebankan ibu dengan yuran pengajian yang tinggi.

“Rupanya ada elaun sara diri, asrama dan pengangkutan untuk berulang-alik setiap hari. Oleh itu, saya rebut peluang yang ada dengan senang hati,” katanya.

Jelas Siti Nur Ezeairin, sepanjang mengikuti latihan, dia langsung tidak bimbang dengan ruang untuk menempatkan diri dalam dunia kerjaya.

“Saya dapat fokus kepada pembelajaran hinggalah latihan. Saya juga yakin pada hari pertama memulakan tugas.

“Jika saya tidak berpeluang mengembangkan kerjaya sebagaimana dijanjikan, itu juga bukan masalah. Apa yang penting, saya dapat menambah kemahiran berdasarkan kepakaran dari Jepun,” katanya.

Melalui pengalaman berbeza, kata Muhammad Noor Fitri, 23, dia sebenarnya mempunyai diploma dalam bidang pengurusan acara.

“Tamat pengajian, saya bekerja untuk mengutip pengalaman di pasar raya besar selama dua bulan sebelum diterima sebagai kakitangan tetap di Aeon Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Di sana, saya mula dengar mengenai program Aeon Bakery School. Kebetulan minat memang terarah kepada bidang bakeri dan pastri, jadi saya nekad memohon,” katanya.

Menurut Muhammad Noor Fitri, dia tertarik dengan syarat permohonan ditetapkan pihak majikan, selain teruja apabila dimaklumkan layak menerima gaji minimum, kemudahan penginapan dan pengangkutan sepanjang mengikuti kursus terbabit.

CEKAP menguruskan doh dan roti.
CEKAP menguruskan doh dan roti.

“Pengambilan masuk pelajar dibuat tanpa mengira latar belakang. Tetapi sebagai kakitangan, saya bersyukur apabila diberi keistimewaan menikmati gaji minimum walaupun ketika dalam latihan.

“Bahkan jika ada kenaikan gaji tahunan, saya juga layak untuk menerima faedah serupa. Jadi, saya nekad untuk tambah ilmu.

“Bermula dengan belajar mengenal roti, ramuan, jenis doh, kaedah pembuatan hinggalah kepada pengurusan produk, semuanya lengkap. Selesai bahagian teori, kami dihantar ke cawangan terpilih untuk menyempurnakan 80 peratus latihan amali,” katanya.

Mengakui diri bertuah mendapat peluang belajar dan bekerja, Muhammad Noor Fitri berkata, kesempatan sama wajar direbut lebih ramai anak muda yang dahagakan latihan kemahiran dan jaminan peluang pekerjaan.

“Sepanjang latihan, saya dapat rasa membuat donat, membakar adunan, menyiapkan doh, membancuh dan mempamerkan hasil produk.

“Ia umpama peluang keemasan yang sukar ditolak. Bayangkan ketika ramai anak muda terpaksa berhabis wang ringgit untuk menyambung pengajian ke pusat latihan kemahiran seumpama ini, kami menerima faedah berbaloi.

“Elaun, penginapan dan pengangkutan, semuanya diuruskan. Peluang kerja juga sudah menanti sebaik tamat kursus selama lapan bulan,” katanya.

Selain Muhammad Noor Fitri dan Siti Nur Ezeairin, kunjungan ke La Boheme Aeon Maluri turut diiringi Pengarah Eksekutif Pengurusan Korporat Aeon, Poh Ying Loo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 5:00 AM