MUHAMMAD Hafizunif meminati bidang masakan sejak berusia 15 tahun sebelum mengasah bakatnya di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.
MUHAMMAD Hafizunif meminati bidang masakan sejak berusia 15 tahun sebelum mengasah bakatnya di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.
Mohd Rizal Abdullah


PADANG BESAR: Walaupun dirinya bisu dan pekak, ia tidak sesekali mematahkan semangat seorang lelaki mengejar impiannya dalam bidang pembuatan kek dan pastri.

Begitulah Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan, 23, dari Felda Mata Air, dekat sini, yang tidak pernah melihat kekurangan diri sebagai penghalang untuk terus bergerak.

Ini terbukti apabila dia antara 15 individu yang bakal mewakili Malaysia ke Pertandingan Abilimpian ke-10 di Moscow, Russia tahun hadapan.

Pertandingan berprestij itu bakal menyaksikan penyertaan dari 30 negara dengan 15 daripada 30 kategori dipertandingkan antaranya gubahan bunga, lukisan, sulaman, fotografi dan pemerosesan perkataan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, bukan itu saja, dia juga berjaya memperoleh geran Skim Bantuan Galakan Perniagaan (SBGP-OKU) dari Jabatan Tenaga Kerja.

“Alhamdulillah melalui geran ini iaitu dengan pemberian perkakasan bakeri seperti peti sejuk, mesin ketuhar, mesin pengisar dan bengkel pasti membantu mencapai cita-cita saya dalam perniagaan pastri.

MUHAMMAD Hafizunif  mengulang kaji resipi membuat kek sebagai persediaan mewakili Malaysia ke Pertandingan  Abilimpian ke-10 di Moscow, Russia.
MUHAMMAD Hafizunif mengulang kaji resipi membuat kek sebagai persediaan mewakili Malaysia ke Pertandingan Abilimpian ke-10 di Moscow, Russia.

“Insya-Allah, selepas tamat latihan sempena pertandingan itu, saya mula fokus kepada pembuatan kek dan pastri,” katanya melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan kakaknya, Wan Roziana Hafiza Wan Omar, 32.

Katanya, sebelum ini, dia hanya membuat kek dan pastri di rumah selain mengambil pesanan pelanggan dari Internet atau kenalan rakan dan keluarganya.

“Selepas siap bengkel ini, InsyaAllah, saya lebih fokus termasuk meningkatkan jumlah pengeluaran untuk pasaran.

“Sekiranya apa yang dirancang itu menjadi, saya berharap dapat buka sebuah kedai kek dan pastri sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai kemahirannya, Wan Muhammad Hafizunif berkata, segala ilmu itu dipelajari ketika dia menuntut Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

“Saya juga sering mencari resipi baharu menerusi bahan bacaan buku dan di Internet.

“Kadang kala, saya bereksperimen untuk menghasilkan kelainan dalam setiap kek dan pastri,” katanya.

Katanya, selepas siap bengkel ini, pasti ia memberikan lebih banyak cabaran terutama dari segi pemasaran dan produktiviti.

BENGKEL kek dan pastri yang dalam pembinaan.
BENGKEL kek dan pastri yang dalam pembinaan.

“Saya perlu beri komitmen penuh bagi memastikan bantuan geran itu digunakan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, ibunya Wan Zarina Wan Omar, 50, berkata, anaknya meminati bidang masakan seawal usia 15 tahun.

“Kecenderungannya jelas apabila sering membantu saya di dapur selain sering bertanya mengenai soal masakan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dia mampu berdikari dan ada matlamat dalam hidup meskipun berdepan masalah pendengaran dan percakapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:50 AM