Selain masalah obesiti, gigi rosak ia turut lemahkan sistem imuniti kanak-kanak. -Foto hiasan
Selain masalah obesiti, gigi rosak ia turut lemahkan sistem imuniti kanak-kanak. -Foto hiasan
Siti Nadirah Hafidzin

SEGELINTIR ibu bapa terlalu obses apabila menyentuh mengenai hal pemakanan anak hinggakan ada yang langsung tidak membenarkan mereka mengambil makanan atau minuman mengandungi gula.

Namun, ada juga ibu bapa bersikap sebaliknya hinggakan langsung tidak mengawal atau mengambil endah apa yang dimakan anak walaupun menyedari ia boleh mendatangkan bahaya.

“Ala, biarlah dia makan macam orang dewasa, tak payah nak kawal sangat soal pengambilan garam atau gula. Payah pula nanti kita hendak sediakan makanan lain. Nanti dia besar, tahulah dia kawal pemakanan sendiri”. Itu antara dialog paling biasa didengari apabila ada di antara ibu bapa yang me­ngawal pemakanan harian anak terutama yang belum memasuki usia dua tahun.

Salah faham dan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan kawalan pengambilan gula sejak kecil menyebabkan ramai ibu bapa terutama ibu bapa muda yang baru memiliki cahaya mata dikecam hinggakan ada pihak melabelkan mereka terlalu berhati-hati hanya kerana menjaga pemakanan harian anak.

Walhal umum mengetahui, kanak-kanak yang belum berusia dua tahun tidak boleh mengambil gula atau garam terutama secara berlebihan dalam pemakanan harian mereka. Secara fitrahnya, kanak-kanak memang sukakan makanan manis. Jarang kita jumpa kanak-kanak yang menolak apabila ditawarkan gula-gula, coklat, aiskrim atau sebarang makanan manis lain.

Ramai ibu bapa tidak sedar makanan manis ini boleh membuatkan kanak-kanak ketagih kepada gula. Jadi tidak hairanlah jika ada kanak-kanak yang menangis dan meragam apabila kehendak mereka untuk menikmati makanan manis tidak dipenuhi. Untuk mententeramkan anak, kebanyakan ibu bapa akhirnya mengalah dengan membelikan snek manis ini.

KESAN BERLEBIHAN GULA

Mengupas mengenai isu pengambilan gula berlebihan dalam kalangan kanak-kanak, pegawai perubatan, Dr Mohd Hanafi Abdull Habir berkata, gigi rosak dan obesiti antara kesan paling biasa berlaku akibat makanan dan minuman manis tidak terkawal yang tidak perlu diceritakan lagi.

“Semua orang cukup maklum dengan dua masalah utama yang berlaku disebabkan pengambilan gula berlebihan pada anak kecil mahupun orang dewasa.

DOKTOR pakar sakit kanak-kanak, Dr Mohd Hanafi Abdul Habir. -Foto: Roslin Mat Tahir
DOKTOR pakar sakit kanak-kanak, Dr Mohd Hanafi Abdul Habir. -Foto: Roslin Mat Tahir

“Apa yang mendatangkan kemusykilan apabila ada sesetengah ibu bapa yang mengeluh apabila anak mereka mengalami masalah obesiti atau gigi berlubang sedangkan mereka sendiri yang tidak menjaga diet harian anak,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila pemberian makanan manis itu diberikan kepada anak seawal usia setahun sedangkan ketika itu mereka masih menyusu. Pada usia begini, ibu bapa perlu memperkenalkan makanan dengan rasa asli tanpa mencampurkan gula atau garam.

“Jika ditanya kepada saya, jawapannya adalah tidak boleh sama sekali, terlalu banyak kesan negatif yang bakal terjadi sekiranya ibu bapa tidak mengawal pengambilan gula kepada anak-anak.

“Buanglah rasa malas untuk menyediakan makanan khas, fikirlah semua itu perlu dilakukan demi kesihatan dan masa depan anak,” ujarnya.

Menurut Dr Mohd Hanafi, selain dua masalah kesihatan itu, kanak-kanak turut berisiko mengalami empat lagi kesan kesihatan akibat mengambilan gula berlebihan.

“Batuk dan alahan antara kesan yang berkait rapat dengan pengambilan gula berlebihan termasuk selesema, kahak berlebihan dan simptom jangkitan sinus.

“Bukan itu saja, sesetengah kanak-kanak turut dikesan mengalami alahan yang dipercayai berpunca daripada kandungan gula yang berlebihan dalam tubuh,” katanya.

Menurutnya, sekiranya si anak sering mengalami batuk, selesema atau alahan, ibu bapa digalak untuk meneliti kembali kandungan gula yang diambil seharian. Kita perlu melihat kembali corak pemakanan yang disediakan di rumah. Adakah kita sentiasa menyediakan minuman manis untuk seisi keluarga? Bagaimana pula dengan sajian lain termasuk snek. Jika makan di luar, apa makanan dan minuman yang kita pilih?

“Ramai ibu bapa atau penjaga beranggapan anak mengalami semua masalah kesihatan itu disebabkan cuaca atau jangkitan virus saja namun ketahuilah ia juga boleh terjadi disebabkan pengambilan gula berlebihan.

“Selain itu, segelintir kanak-kanak juga mungkin mengalami sakit tekak berulang kali. Masalah ini kebiasaannya terjadi pada waktu tengah malam yang menyebabkan si kecil anda berasa tidak selesa pada tekak, batuk dan sukar bernafas,” ujarnya.

TERDAPAT pelbagai risiko kesihatan yang boleh terjadi akibat pengambilan gula berlebihan.
TERDAPAT pelbagai risiko kesihatan yang boleh terjadi akibat pengambilan gula berlebihan.

Kata Dr Mohd Hanafi, kes seperti itu biasa terjadi dan selepas diselidik, kanak-kanak terbabit sering mengambil minuman manis seperti susu coklat sepanjang hari. Pengambilan susu tidak salah kerana ia memang penting kepada pembentukan tulang dan gigi kanak-kanak, tetapi jika yang menjadi pilihan adalah susu berperisa yang manis, maka jumlahnya perlu dikawal.

“Kombinasi produk tenusu dan gula memerlukan masa yang lama untuk dicerna dan ia boleh menjadi punca pedih ulu hati juga rasa tidak selesa pada tekak.

“Kajian juga mendapati anak generasi kini lebih cenderung mengambil lebih banyak minuman dan makanan manis iaitu 10 kali ganda berbanding generasi lalu. Keadaan ini sangat membimbangkan dan ia perlu dikawal segera,” katanya.

Menurutnya, pengambilan gula secara berlebihan turut menyebabkan imuniti tubuh menjadi lemah.

“Tubuh manusia terbina daripada banyak bakteria baik yang mencerna makanan dan melindungi tubuh daripada jangkitan kuman dan penyakit. Namun, apabila kanak-kanak mengambil terlalu banyak gula, ia akan menjejaskan keseimbangan antara bakteria baik dan bakteria jahat. Secara tidak langsung, keadaan ini akan melemahkan sistem imuniti mereka.

“Walaupun ia normal bagi kanak-kanak untuk mengalami sakit dan demam namun kami percaya simptom yang dihadapi boleh dikurangkan dengan mengawal kuantiti gula yang diambil setiap hari,” ujarnya.

Selain itu, Dr Mohd Hanafi berkata, kanak-kanak turut dikesan kurang berselera terhadap makanan berkhasiat apabila sudah terlalu biasa mengambil makanan atau minuman manis.

“Jika anak anda asyik mengasingkan sayuran dan tidak suka memakan buah-buahan mungkin dia bukannya individu yang ‘pemilih makanan’, sebaliknya ia mungkin berpunca daripada minuman manis dan gula.

“Selain menyebabkan ketagihan untuk makanan manis, berlemak dan tidak berkhasiat, ia juga boleh memberi kesan yang sebaliknya. Ini kerana, apabila mengambil gula berlebihan, perut kanak-kanak akan berasa tidak selesa dan selera makan turut berkurangan,” katanya.

PELAJARI HAD SIHAT

Sehubungan itu, menurutnya, ibu bapa atau penjaga perlu sedar mengenai bahaya gula berlebihan kepada kanak-kanak.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan gula tambahan tidak boleh melebihi 10 peratus daripada jumlah tenaga yang digunakan. Bagi anak-anak berusia setahun hingga tiga tahun, 10 peratus ini sama nilainya dengan empat atau lima sudu teh gula.

“Manakala untuk anak berusia empat hingga enam tahun, 10 peratus ini bersamaan dengan dengan lima hingga lapan sudu teh gula. Namun sebaik-baiknya, WHO menyarankan pengurangan kepada lima peratus gula untuk mendapat manfaat kesihatan yang lebih baik, iaitu separuh daripada nilai yang ditetapkan itu,” ujarnya.

Tambahnya, kebanyakan gula kini bukan saja terdapat dalam minuman, malah ia sebenarnya turut terdapat dalam makanan yang diproses antaranya seperti sos cili, kerepek dan biskut.

“Sebagai ibu bapa, kita juga perlu lebih berhati-hati dalam memilih makanan yang sihat untuk diri sendiri, anak-anak dan seisi keluarga.

“Tabiat memberi anak susu coklat atau apa saja minuman manis di dalam botol susu juga perlu dihentikan. Selepas dua tahun, mereka sebenarnya sudah patut dilatih untuk berhenti daripada minum di botol susu kerana dengan cara ini, barulah mereka dapat belajar untuk mempraktikkan diet yang lebih sihat dan mengurangkan simptom yang berkait dengan masalah kesihatan,” katanya.

Dr Mohd Hanafi turut berkongsi beberapa langkah yang boleh dilakukan ibu bapa untuk menggalakkan anak mengambil makanan sihat dan kurang manis.

1. Gusi dan gigi

Amalkan membersihkan dalam mulut bayi menggunakan kain basah yang bersih seawal usia baru lahir.

Gunakan berus gigi mengikut peringkat umur.

Kerapkan menyentuh dalam mulut bayi untuk tujuan mengurangkan sensitiviti deria dalam mulut.

Lewat memberus gigi atau membersihkan mulut anak juga adalah salah satu faktor menyebabkan anak memilih makan dan hanya suka makanan manis.

Jangan terlampau menghalang anak memasukkan benda dalam mulut tetapi ganti dengan benda yang selamat sebab langkah ini penting untuk merangsang sensori dalam mulut.

2. Ajar merasa makanan

Elakkan memberi makanan yang telah diproses dan manis sehingga anak mencapai umur setahun.

Kesilapan utama yang selalu dilakukan ibu bapa dalam memperkenalkan makanan adalah terlalu awal memberi anak makan semua jenis makanan termasuklah makanan diproses dan bergula.

Beri anak rasa satu persatu jenis makanan sebelum mencampurkannya ajar anak untuk sukakan sayur dan buah-buahan.

Jangan putus asa dalam mencuba memberi anak makanan sihat kerana corak pemakanan awal banyak mempengaruhi gaya pemakanan anak.

3. Kurangkan gula seisi rumah

Diri anda sebagai ibu bapa adalah contoh teladan terbaik kepada anak-anak. Oleh itu, amalkan makan makanan sihat dan kurang gila terutama apabila anda sedang makan bersama anak-anak.

Jangan biasakan membeli stok makanan ringan, minuman manis dan disimpan di dalam peti sejuk kerana ia akan lebih mempengaruhi anak-anak untuk mengambil makanan manis.

Rajin mencuba pelbagai menu makanan dan minuman sihat yang lazat untuk anak-anak.

Terapkan diri anak-anak supaya mengambil air masak yang banyak dalam sehari.

Donat berinti coklat mudah disediakan

Hidangan kek dan pastri sering dijadikan menu ‘pemanis mulut’ tidak kiralah di jamuan sesuatu majlis atau ketika minum petang di rumah.

Walaupun ia bukanlah menu harian wajib namun tidak dapat disangkal lagi, ramai yang menggemarinya terutama kanak-kanak.

Keenakan rasa yang pelbagai ditambah dengan kreativiti penyediaannya menjadikan hidangan itu antara yang perlu ada dalam memikat selera si kecil tersayang.

Dalam senario ini, mungkin ramai ibu bapa bersetuju, membeli hidangan pastri dan kek ini di kedai atau daripada individu mahir lebih mudah berbanding dengan diadun di dapur sendiri namun ketahuilah banyak manfaat diperoleh sekiranya anda sanggup menyediakannya sendiri.

Resipi mudah donat berinti coklat.
Resipi mudah donat berinti coklat.

Setiap ibu perlu bijak memainkan peranan terutama dalam memastikan anak-anak dapat menikmati hidangan kek dan pastri sihat hasil ‘air tangan’ ibu tercinta. Perkara penting yang perlu diberikan keutamaan adalah kuantiti gula supaya hidangan ini tidak terlalu manis.

Berkongsi resipi dan langkah penyediaan hidangan digemari ramai iaitu donat berinti coklat, pengasas Pastryfeel yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam pembuatan kek dan pastri, Nurizan Abd Bakar berkata, sebut saja donat tentu ramai yang menggemarinya tidak kira golongan dewasa mahupun kanak-kanak.

“Namun, masih ramai golongan ibu yang lebih selesa membeli kerana tidak yakin dengan kemampuan diri untuk menyediakan hidangan ini.

“Ramai yang mengakui biasa memasak namun tidak pernah sekali pun cuba membuat hidangan jenis ini termasuk kuih-muih atau roti. Hakikatnya, anggapan ramai yang menyatakan proses penyediaannya rumit tidak benar kerana jika kena dengan caranya selain mengikut resipi betul, pasti anda juga dapat melakukannya,” katanya.

Tambah Nurizan, tidak perlu lagi menaburkan gula halus pada donut. Jika suka, boleh memilih coklat kurang kandungan gula untuk pilihan lebih baik.

Donat berinti coklat

Bahan-bahannya:

Empat cawang tepung gandum

Tiga sudu besar mentega

Dua sudu besar susu pekat manis

Satu sudu besar gula

Setengah cawan air suam

Satu paket yis

Sedikit garam

Satu bar coklat untuk inti di dalam donat (dicairkan)

Cara penyediaan:

1. Ambil setengah cawan air suam dan larutkan gula, yis dan kacau sebati.

2. Biarkan hingga yis mengembang kira-kira 20 minit.

3. Ramas dan gaulkan tepung gandum bersama mentega, susu dan garam hingga sebati.

4. Apabila yis sudah mula mengembang, masukkan yis ke dalam tepung diselang selikan dengan setengah cawan air hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan.

5. Biarkan doh selama 30 minit, tutup doh dengan kain basah dan biarkan seketika.

6. Selepas 30 minit, doh akan naik. Anda boleh picit sedikit doh untuk mengeluarkan angin.

7. Boleh canaikan doh, jangan terlalu tebal dan jangan pula terlalu nipis.

8. Bentukkan bulat seperti donat kemudian paipkan coklat yang sudah dicairkan ke dalamnya.

9. Sebelum menggoreng rehatkan donat selama 30 minit supaya ia mengembang dengan cantik.

10. Goreng donat menggunakan api kecil dan minyak yang panas. Selesai menggoreng, golekkan ke dalam gula halus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 5:30 AM