AZHARI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan rokok berjaya dirampas. FOTO Syaherah Mustafa.
AZHARI (tengah) bersama pegawainya menunjukkan mercun dan rokok berjaya dirampas. FOTO Syaherah Mustafa.
Syaherah Mustafa


PENYELUDUP dikesan mengupah remaja dan wanita tempatan sebagai pengintip bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dekat Kelantan.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, tindakan itu dipercayai taktik terbaharu sindiket berkenaan untuk melindungi kegiatan haram mereka.

Katanya, pihaknya mengenal pasti kewujudan pengintip itu sejak 15 September lalu selepas pasukan PGA7 mengambil alih penugasan Ops Wawasan Kelantan.

“Dua golongan ini dijadikan tonto untuk mengintip penguat kuasa dan menyalurkan maklumat kepada mereka supaya mudah menjalankan aktiviti haram sepanjang kawasan sempadan.

“Penyeludup juga sanggup memperuntukkan upah buat golongan itu jadi ‘mata-mata’ dan maklumat terutamanya apabila pegawai kita meninggalkan pangkalan selain pertukaran syif,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol, Rantau Panjang, hari ini.

Azhari berkata, penyeludup juga kerap mengubah taktik, antaranya melalui jalan pintas untuk menyegerakan kegiatan dan pengedaran barang diseludup.

“Kehadiran tonto ini yang mungkin meningkat dari semasa ke semasa membimbangkan kita, apatah lagi ia babitkan masyarakat sekitar pangkalan haram. Namun kita akan teruskan penguatkuasaan untuk lumpuhkan sindiket ini,” katanya.

Dalam pada itu, PGA7 berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 76,000 batang rokok bernilai RM114,000 dalam serbuan di Pangkalan Haram Tualang, Pengkalan Kubor, Tumpat, hari ini.

Serbuan 5,45 pagi itu selepas mengesan beberapa lelaki sedang memunggah kotak dari sebuah bot dan mereka sempat melarikan diri sejurus serbuaan dengan menghalakan bot ke Thailand.

“Pemeriksaan lanjut menemui tujuh kotak berisi 380 karton rokok. Semua rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama,” katanya.

Selain itu, PGA7 turut merampas mercun seludup bernilai RM26,420 ketika membuat rondaan motosikal di Jalan Rantau Panjang - Pasir Mas, berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Khamis lalu.

Bekalan itu dibawa dalam Proton Saga yang ditinggalkan pemandunya di tepi jalan selepas menyedari kehadiran anggota.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 4:45 PM