PETUGAS pasukan keselamatan Thai mengangkat mayat yang digalikan dari sebuah kubur besar di kebun getah di  Songkhla, semalam.
PETUGAS pasukan keselamatan Thai mengangkat mayat yang digalikan dari sebuah kubur besar di kebun getah di Songkhla, semalam.
Reuters

Padang Besar: Pihak berkuasa Thailand menemui enam lagi mayat yang dipercayai etnik Rohingya di sebuah ladang getah berhampiran lokasi 26 kubur migran yang ditemui minggu lalu, kata tentera semalam.

Mayat itu ditemui di wilayah Songkhla berhampiran sempadan Malaysia, kira-kira empat kilometer dari sebuah kem di satu kawasan hutan yang menempatkan kubur migran berkenaan.

“Penduduk kampung memberitahu mayat yang ditanam di sini adalah migran Rohingya dari Myanmar yang ditahan di sebuah kem berhampiran,” kata Timbalan Setiausaha Agung Arahan dan Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Kolonel Jatuporn Klampasut.

Penemuan 26 kubur migran di sebuah kem tahanan milik sindiket rangkaian penyeludupan manusia di Songkhla pada minggu lalu mengejutkan seluruh dunia.

Pendatang Rohingnya beragama Islam dan dari Bangladesh sering menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.

Golongan itu melarikan diri dari konflik dan kemiskinan di negara asal dengan berhijrah ke Malaysia atau Indonesia untuk mencari pekerjaan.

Bagaimanapun, mereka dipercayai ditipu sindiket penyeludupan manusia sebelum dikurung di kem berkenaan sehingga keluarga mangsa membayar wang tebusan.

Pihak berkuasa kelmarin menemui sebuah lagi kem yang digunakan oleh sindiket penyeludupan manusia di wilayah itu.

Susulan penemuan itu, polis menahan tiga lelaki warga tempatan dan seorang warga Myanmar serta memburu empat lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

Seorang pegawai polis yang enggan dikenali berkata, risikan mendapati terdapat tiga lagi kem serupa di kawasan gunung di hutan itu.

“Terdapat tiga lagi kem di kawasan gunung berkenaan yang boleh memuatkan sehingga 700 orang dalam satu kem.

“Kem itu akan ditemui tidak lama lagi tetapi kami diberitahu sindiket berkenaan menerima maklumat awal berhubung operasi kami dan memindahkan kem mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:18 AM