PUTERI Wales, Catherine. FOTO AFP
PUTERI Wales, Catherine. FOTO AFP
AFP

London: Puteri Wales, Catherine mengumumkan bakal membuat penampilan umum pertamanya dalam tempoh enam bulan, pada hujung minggu ini, selepas mencapai kemajuan yang baik dalam rawatan kanser.

Bakal permaisuri berusia 42 tahun itu akan menghadiri perarakan ulang tahun tahunan Raja Charles III, hari ini, bersama kerabat diraja kanan yang lain, yang mana raja Britain itu turut serta, walaupun baginda sendiri berjuang melawan kanser.

Dalam satu kenyataan, Catherine yang dikenali secara meluas sebagai Kate berkata, beliau belum keluar ke mana-mana lagi, tetapi berharap untuk menyertai beberapa acara sepanjang musim panas.

"Saya membuat kemajuan yang baik, tetapi kerana sesiapa yang menjalani kemoterapi akan tahu, ada hari baik dan hari buruk.

"Pada hari-hari buruk itu anda berasa lemah, letih dan anda perlu mengalah untuk berehat badan anda. Tetapi pada hari-hari yang baik, apabila anda berasa lebih kuat, anda ingin memanfaatkan sepenuhnya perasaan yang sihat," katanya sambil menambah rawatan untuk kanser yang tidak ditentukan akan diteruskan untuk beberapa bulan lagi.

Kate, berkahwin dengan pewaris takhta Putera William, dan ibu kepada tiga anak kecil, menyatakan bahawa beliau sudah mula melakukan sedikit kerja dari rumah pada hari-hari ketika berasa cukup sihat.

"Adalah kegembiraan untuk membabitkan diri dengan kehidupan sekolah, menghabiskan masa peribadi pada perkara yang memberi saya tenaga dan positif," katanya.

Jurucakap Istana Buckingham berkata, Charles berbesar hati kerana Kate dapat menghadiri acara itu.

Kenyataan Kate, yang pertama kali dikeluarkan di media sosial, disertakan dengan gambar diambil awal minggu ini di Istana Windsor, barat London. Ia memaparkan Kate berdiri di hadapan pokok di sebelah sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 12:37 PM