GAYA Kate disifatkan sebagai ‘kasual tetapi bijak’.
GAYA Kate disifatkan sebagai ‘kasual tetapi bijak’.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kemangkatan Ratu Elizabeth II bukan saja memberi lembaran baharu buat monarki British malah, ia turut melangkaui sehingga ke aspek fesyen.

Kematian baginda dikatakan menjadi titik perubahan dalam hubungan antara fesyen dan keluarga diraja dengan kerabat lebih muda terutama Puteri Wales, Kate Middleton berkemungkinan menjadi perhatian orang awam.

Menurut laporan Reuters, mendiang ratu mempunyai formula fesyen yang tepat - kot elegan, topi kemas dan kasut bertumit yang turut dilengkapi beg tangan, yang menjadi simbol kestabilan.

Alicia Healey, yang bekerja di kediaman ratu selama empat tahun berkata bahawa ratu menyedari betapa bergunanya alat untuk bergaya dalam membantu menyampaikan imejnya sebagai raja.

Beliau yang pernah menulis buku berjudul 'Wardrobe Wisdom from a Royal Lady's Maid: How to dress and take care of your clothes', mendapati bahawa ada ketikanya, pakaian yang digayakan baginda dianggap sebagai pakaian seragam.

Menurut Reuters, walaupun takhta kini dipegang Raja Charles III dan isterinya Permaisuri Camilla, penampilan mereka juga akan menarik perhatian, namun disebabkan usia mereka yang sudah menjangkau 70-an, lensa kamera mungkin akan lebih tertumpu kepada anak-anak Charles, William dan Harry - dan isteri mereka.

Dengan Harry dan isterinya Meghan yang kini berpangkalan di California, isteri William, Catherine, yang lebih dikenali sebagai Kate, perlu bersedia untuk menjadi tatapan awam.

Ia secara tidak langsung mengimbau kembali era mendiang ibu William, Diana yang ketika itu merupakan Puteri Wales.

Kate yang kini berusia 40 tahun menjadi rujukan peminat fesyen. Gaya yang dikenakan Kate menjadi kegilaan penggemar fesyen.

Pada 2013, Kate mengenakan gaun polkadot ketika membuat penampilan awam selepas melahirkan putera sulungnya, George. Ia ternyata menjadi rebutan penggemar fesyen sehingga gaun berkenaan habis terjual.

Gaya berkenaan dikatakan umpama memperingati penampilan Diana selepas melahirkan William, yang turut mengenakan gaun polkadot.

Seorang pengkritik fesyen berkata, Kate adalah seorang yang berpenampilan sederhana namun, apabila beliau mengenakan gaya yang sedikit glamor, ia menimbulkan keterujaan buat peminat keluarga diraja itu.

Katanya, ia menyifatkan gaya Kate sebagai 'kasual tetapi bijak'.

Bagaimanapun, gaya Kate sedikit bertentangan dengan bapa mentuanya, Raja Charles III yang memilih gaya lestari.

Dikatakan Raja Charles III mempunyai kot diperbuat daripada kulit unta yang kini berusia 25 tahun. Baginda lebih berminat membeli barangan berkualiti yang tahan lama.

Menurut Elizabeth Holmes, pengarang 'HRH: So Many Thoughts on Royal Style', mendiang ratu menetapkan aras yang tinggi dalam menetapkan tona warna yang tepat.

Katanya, ia adalah langkah yang tepat bagi baginda mengiktiraf kuasa pakaian dan gaya dalam mendekati rakyat jelata serta menyokong tugas baginda sebagai ketua monarki.

Menurutnya, tiada satu ketika pun, baginda mengenakan pakaian tidak sesuai dengan majlis atau berdepan kegagalan penampilan dan ia konsisten selama 70 tahun.

Sementara itu, upacara pemakaman Ratu Elizabeth menjadi tumpuan seluruh dunia dan mencipta beberapa rekod tersendiri.

Upacara pemakaman kerabat diraja bukanlah sesuatu yang kita boleh tonton setiap hari maka, istiadat pemakaman ratu benar-benar menarik perhatian.

BBC melaporkan, seramai 28 juta warga Britain menonton upacara pemakaman itu menerusi televisyen, menjadikan ia program televisyen paling ramai ditonton setakat ini.

Upacara pemakaman diadakan pada Isnin lalu bermula dari Westminster Abbey dan disiarkan ke seluruh dunia.

BBC memaklumkan, majoriti penonton adalah warga Britain dengan 32.5 juta menonton pada waktu tertentu, manakala 22.4 juta menonton ketika mendiang ratu dibawa dari Westminster Abbey melalui ibu kota London.

Penonton siaran BBC itu adalah yang terbesar sejak upacara penutupan Sukan Olimpik London pada 2012, sama seperti ketika upacara pengebumian Puteri Diana pada 1997.

Angka berkenaan dikatakan tidak meliputi warga Britain yang menonton secara langsung di peranti mudah alih.


Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 6:01 AM