KATE Middleton dan suaminya, Putera William. FOTO   Reuters.
KATE Middleton dan suaminya, Putera William. FOTO Reuters.
AFP

London: Puteri Wales, Kate Middleton mengumumkan menghidap kanser, semalam dan berada di peringkat awal kemoterapi, serta meminta 'masa, ruang dan privasi' dalam menyelesaikan rawatannya.

Isteri pewaris takhta Britain, Putera William itu menyifatkan penemuan kanser selepas pembedahan perut yang berjaya dilaksana pada Januari lalu adalah 'kejutan besar' namun dirinya dalam keadaan baik dan 'kuat setiap hari'.

Pendedahan itu dibuat selepas pegawai diraja mengumumkan pada Februari lalu yang Raja Charles III sedang dirawat kerana kanser, memaksanya membatalkan semua program khalayak umum.

Charles berkata, "sangat bangga dengan Catherine kerana keberaniannya mendedahkan apa dilalui."

Sokongan sama turut diberikan Perdana Menteri United Kingdom Rishi Sunak dan Rumah Putih.

Adik Kate, James Middleton menyiarkan gambar bersama kakaknya semasa kecil di Instagram dan berkata, "Selama bertahun-tahun, kita mendaki banyak gunung bersama-sama.

"Sebagai sebuah keluarga, kita akan mendaki (situasi) yang ini bersama kamu juga."

Adik William yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Putera Harry dan isterinya Meghan Markle berkata, mereka mendoakan kesihatan dan kesembuhan buat Kate serta keluarga.

Seperti Charles, puteri berusia 42 tahun itu tidak mendedahkan jenis kanser secara terperinci, namun menggambarkan beberapa bulan dimasukkan ke hospital sebagai 'sangat sukar' untuknya, William dan tiga anak kecil mereka.

"Pada Januari, saya menjalani pembedahan abdomen di London dan pada masa itu, keadaan dianggap bukan kanser," tambahnya dalam video yang dirakam pada Rabu di Windsor, barat London.

Menurutnya, pembedahan berkenan berjaya, namun ujian selepas pembedahan mendedahkan ia kanser.

"Oleh itu, pasukan perubatan saya menasihati supaya saya menjalani kemoterapi pencegahan dan saya kini berada di peringkat awal rawatan," katanya.

Kate juga memaklumkan terpaksa mengambil masa untuk menerangkan situasi sebenar kepada anaknya, Putera George, 10; Puteri Charlotte, 8, dan Putera Louis, 5, serta "meyakinkan mereka yang saya akan baik."

William, Kate dan tiga anaknya dilihat sebagai wajah moden keluarga diraja Britain dan kunci masa depan istana selepas menghadapi sokongan yang merosot, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Pegawai istana berharap pendedahan Kate akan menamatkan spekulasi dan khabar angin mengenai kesihatan dan keberadaannya, terutamanya di Internet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 9:02 AM